MOT teliti langkah penguatkuasaan pematuhan mandatori kenderaan berat

Iklan
MOT sedang meneliti beberapa langkah penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan mandatori oleh kenderaan berat dalam usaha memperkukuh dasar keselamatan jalan raya, susulan nahas bas yang meragut nyawa 15 penuntut UPSI pada Isnin. Gambar kecil: Anthony

GEORGE TOWN - Kementerian Pengangkutan sedang meneliti beberapa langkah penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan mandatori oleh kenderaan berat dalam usaha memperkukuh dasar keselamatan jalan raya, susulan nahas bas yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, berkata terdapat cabaran besar dalam memastikan pematuhan oleh syarikat yang mengendalikan kenderaan berat termasuk lori dan bas.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kementerian sedang meneliti penggunaan teknologi seperti pengehad kelajuan automatik dan kamera video dalam kenderaan untuk dipasang pada kenderaan berat sebagai langkah keselamatan, selain mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar dalam bas ekspres.

"Kenderaan berat ketika ini memang dipasang dengan alat had laju, namun peranti itu sering diubah suai sehingga tidak lagi berfungsi untuk mengehadkan kelajuan kenderaan.

Iklan

"Peranti ini dipasang bagi mengelakkan kenderaan dipandu melebihi had laju, tetapi apa yang berlaku ialah ia sering diubah suai,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan CruiseWorld Malaysia 2025 di sini pada Selasa.

Menurut beliau, kenderaan berat sering hanya memasang peranti berkenaan ketika pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), namun kemudiannya mengubah suai peranti itu selepas pemeriksaan selesai.

Iklan

"Jadi kita perlu meneliti mekanisme bagi mengelakkan peranti ini daripada diubah suai serta memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat untuk memastikan ia kekal berfungsi,” katanya.

Anthony berkata, kementerian sudah mempunyai kerangka kerja untuk menjadikan pemasangan peranti had laju sebagai mandatori ke atas kenderaan berat dan memastikan ia tidak diubah suai selepas pemasangan.

"Penguatkuasaan tegas amat diperlukan untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan ini,” ujarnya.

Mengenai kemungkinan mewajibkan pemasangan kamera video dalam kenderaan berat, beliau memaklumkan bahawa perkara itu turut dalam pertimbangan kementerian.

"Kamera video masih belum diwajibkan pada masa ini, namun langkah ini perlu dikaji sebagai usaha menambah baik aspek keselamatan,” katanya.

Anthony turut menjelaskan bahawa semua bas baharu yang dikeluarkan mulai 2020 diwajibkan mempunyai tali pinggang keledar untuk semua penumpang.

"Bagaimanapun, dalam kejadian di Jalan Raya Timur–Barat itu, bas terlibat dibina pada tahun 2013 dan sudah berusia 12 tahun, jadi ia tidak dilengkapi tali pinggang keledar.

"Walaupun tali pinggang keledar diwajibkan bagi bas baharu, cabarannya ialah memastikan pematuhan oleh penumpang,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga akan meneliti kaedah baharu bagi memastikan pemakaian tali pinggang keledar seperti pemasangan sensor yang akan menghalang pergerakan bas jika penumpang tidak memakainya.

"Dalam kereta, kalau kita tidak pakai tali pinggang keledar, ia akan berbunyi. Maka, kita boleh kaji supaya pemandu tidak boleh menghidupkan atau memandu bas sekiranya penumpang tidak memakai tali pinggang keledar,” katanya.

Anthony menegaskan bahawa isu utama berkaitan had laju automatik dan tali pinggang keledar ialah pematuhan oleh pemandu dan penumpang.

"Cabaran kita adalah untuk memastikan pematuhan. Kita memang ada undang-undang, tetapi cabarannya ialah penguatkuasaan dan sikap.

"Apabila kita melaksanakan peraturan baharu, ramai yang ‘bising’. Tapi kalau kita tidak tegas, kita dikritik pula,” katanya.

Beliau meminta semua pihak termasuk pengusaha industri dan orang awam bekerjasama bagi memastikan pematuhan terhadap langkah keselamatan jalan raya.

"Kita tidak mahu apabila kita mewajibkan sesuatu, pengusaha mengadu mereka terjejas kononnya langkah baharu ini membebankan dan menambah kos.

"Pengusaha perlu ingat, setiap langkah keselamatan yang dilaksanakan adalah demi menyelamatkan nyawa manusia.

"Contohnya, pemakaian tali pinggang keledar dalam bas baharu sudah diwajibkan, tetapi masih wujud ketidakpatuhan oleh pengusaha dan penumpang,” katanya.

Tambah beliau, kementerian akan meneliti kaedah pelaksanaan terbaik bagi memastikan keberkesanan semua peraturan yang diperkenalkan.