BESUT – Jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurul Fatihah Abu Setaman, 22, yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Duek, di sini kira-kira jam 10.30 pagi, Selasa.
Allahyarham, yang merupakan penuntut Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UPSI, ialah mangsa terakhir dikebumikan daripada 15 pelajar yang terkorban dalam tragedi menyayat hati itu.
Jenazah Allahyarham antara 13 mangsa yang dibawa pulang dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, sebelum disolatkan di Masjid Hadhari, Jertih, di sini.
Suasana hiba menyelubungi pekarangan tanah perkuburan apabila lebih 100 orang termasuk ahli keluarga, rakan-rakan serta penduduk kampung hadir mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham.
Sementara itu, bapa mangsa, Abu Setaman Jusoh, 50, berkata proses pengecaman jenazah anaknya pada Isnin berjalan lancar.
"Syukurlah, proses pengecaman jenazah anak saya berjalan lancar dan dia hanya mengalami sedikit kecederaan pada bahagian luaran badan.
"Mungkin berlaku banyak kecederaan dalaman dan anak saya duduk di bahagian kiri bas yang terbabas dan mengenai besi pengadang jalan itu," katanya.
Terdahulu, bas yang membawa 42 pelajar UPSI dari Jertih, di sini ke kampus Tanjung Malim dipercayai terbabas berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi Isnin.
Seramai 15 pelajar disahkan maut dalam kejadian itu, manakala mangsa yang cedera dirawat di Hospital Gerik, Hospital Taiping dan Hospital Raja Permaisuri Bainun.