SHAH ALAM – Sambutan Minggu Arkib Antarabangsa 2025 bukan sahaja bertujuan meraikan jasa dan usaha warga arkib, malah turut mengajak seluruh rakyat mendekati khazanah sejarah negara yang menjadi teras kepada jati diri dan perpaduan nasional.
Kementerian Perpaduan Negara melalui Arkib Negara Malaysia (ANM) mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat Malaysia untuk mengunjungi 10 Memorial Negarawan yang dibuka kepada orang ramai secara percuma sepanjang tahun.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata inisiatif tersebut bertujuan untuk merakyatkan sejarah serta mendekatkan masyarakat, khususnya generasi muda, dengan warisan kepemimpinan negara.
Menurut beliau, kementerian juga menyokong penuh usaha Arkib Komuniti dan dokumentasi tempatan termasuk sejarah lisan masyarakat Orang Asli, etnik Sabah dan Sarawak serta komuniti minoriti budaya lain bagi membantu memperluas naratif sejarah negara agar lebih inklusif dan adil.
"Arkib ialah penjaga memori bangsa. Ia bukan sekadar menyimpan sejarah negara, tetapi juga menyatukan naratif semua komuniti di Malaysia – daripada perjuangan kemerdekaan, pembinaan negara, sehingga kepada usaha memperkukuh integrasi nasional hari ini.
"Tanpa arkib, sejarah akan hilang, identiti akan kabur, dan perpaduan akan pudar. Justeru, kita mesti terus menyokong institusi arkib dan memperkasakan nilai sejarah sebagai milik semua,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Aaron berkata tema sambutan tahun ini, ‘Arkib Boleh Diakses, Arkib Untuk Semua’ amat bertepatan dengan aspirasi kerajaan Madani untuk memastikan sejarah dan dokumen negara dapat diakses dengan mudah oleh semua lapisan masyarakat.
Beliau turut memaklumkan bahawa ANM merupakan ahli aktif berstatus Institutional Member (Kategori A) dalam International Council on Archives (ICA) dan memiliki jaringan antarabangsa untuk membincangkan hal ehwal kearkiban secara kolektif di peringkat global.
"Kementerian Perpaduan Negara mengucapkan Selamat Menyambut Minggu Arkib Antarabangsa 2025 kepada seluruh warga arkib, penyelidik, penjawat awam dan rakyat Malaysia yang menghargai warisan dokumentasi negara.
"Sempena Minggu Arkib Antarabangsa ini, marilah kita bersama-sama memanfaatkan khazanah sejarah negara, menyemai rasa cinta tanah air, dan memperkukuh semangat perpaduan melalui penghayatan terhadap perjuangan masa lalu,” katanya.