SHAH ALAM – Suasana pilu menyelubungi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, selepas tragedi nahas bas yang meragut nyawa 15 penuntut institusi berkenaan.
Antara mangsa termasuk lima mahasiswi dari Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) UPSI.
Dua daripada mereka disahkan meninggal dunia, seorang dalam keadaan kritikal, seorang lagi cedera parah, manakala seorang lagi mengalami patah tangan.
Sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan seorang pensyarah menangis ketika sesi kuliah pagi, menggambarkan betapa mendalamnya kesan tragedi tersebut terhadap warga UPSI.
Profesor Madya Dr Zulfiqar Shah A Hadi turut meluahkan rasa sedih melalui laman Facebook atas kehilangan anak didiknya.
Beliau berkata, permulaan kelas selepas kejadian itu diselubungi suasana sayu.
"Permulaan kelas tadi, suasana pilu di UPSI. Sungguh kami berduka. Lima mahasiswi, anak didik kami di FSK UPSI terlibat dalam kemalangan ini.
"Dua daripadanya meninggal dunia, seorang cedera kritikal (pembedahan segera di kepala), seorang cedera parah (dalam rawatan) dan seorang patah tangan. Moga ALLAH mudahkan segalanya,” katanya.
Seramai 15 penuntut UPSI terkorban, menjadikan insiden itu antara kemalangan maut yang meragut nyawa tertinggi di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.