Syarikat minyak sawit didenda RM22,000 lepas efluen melebihi had

Iklan
Sebuah syarikat pengeluar minyak sawit mentah didenda RM22,000 selepas didapati bersalah melepaskan efluen melebihi had yang ditetapkan di bawah undang-undang alam sekitar.

SEREMBAN - Sebuah syarikat pengeluar minyak sawit mentah di Tampin didenda RM22,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah melepaskan efluen melebihi had yang ditetapkan di bawah undang-undang alam sekitar.

Hakim Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman selepas wakil syarikat membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Kesalahan itu dikesan semasa siasatan penguatkuasaan dijalankan oleh sepasukan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan pada 16 Mei tahun lalu, sekitar jam 10 pagi di premis terletak di Kampung Tiong, Gemas di sini.

Tiga sampel efluen telah diambil di takat pelepasan akhir kolam rawatan dan dihantar ke Jabatan Kimia Melaka untuk analisis.

Iklan

Keputusan makmal mendapati kandungan pepejal terampai dalam sampel adalah sebanyak 920mg/l, melebihi had ditetapkan iaitu 400mg/l, sekali gus melanggar syarat lesen yang dikeluarkan di bawah Seksyen 16(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Syarikat terbabit disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 16(1) dan dihukum mengikut Seksyen 16(2) akta sama.

Iklan

Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili Nur Hidayah Md Said selaku jurutera syarikat hadir di mahkamah dan membayar denda yang ditetapkan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JAS Negeri Sembilan, Muhammad Fitri Soroni.

Sementara itu, JAS Negeri Sembilan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pihak yang mencemarkan alam sekitar.

Pihaknya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti pencemaran melalui portal e-aduan.doe.gov.my, talian bebas tol 1-800-88-2727 atau emel aduan_k@doe.gov.my.