SHAH ALAM – Dunia digital yang serba canggih kini membuka ruang besar kepada risiko baharu terhadap kanak-kanak, termasuk penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak atau CSAM (Child Sexual Abuse Material).
CSAM merangkumi sebarang bentuk kandungan gambar, video, ilustrasi atau imej manipulasi digital yang menggambarkan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, ancaman CSAM kini lebih tersembunyi dan sukar dikesan kerana ia tersebar melalui media sosial, aplikasi permainan dan platform sulit seperti dark web.
"CSAM bukan isu luar negara. Ia berlaku di sini, dalam telefon dan komputer anak-anak kita. Sikap berdiam diri masyarakat hanya memberi ruang kepada pemangsa,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, individu yang menyimpan, menyebar atau mencipta CSAM boleh dikenakan tindakan undang-undang berat termasuk penjara sehingga 30 tahun di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Selain itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman terhadap penyebaran kandungan tidak bermoral termasuk denda RM50,000 atau penjara sehingga setahun.
Tambahnya, antara taktik biasa ialah ‘grooming’, di mana pelaku membina kepercayaan secara perlahan sebelum mengeksploitasi kanak-kanak.
SIRAJ
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan
"Ada murid sekolah rendah dihampiri melalui permainan dalam talian dan diminta hantar gambar tidak senonoh. Tanpa pantauan ibu bapa, jenayah ini mudah berlaku,” ujarnya.
Siraj menyeru agar ibu bapa, guru dan masyarakat segera melaporkan sebarang kelakuan mencurigakan kepada pihak berkuasa atau platform seperti aduan.mcmc.gov.my.
"Pendedahan awal terhadap isu keselamatan digital seperti CSAM sangat penting. Anak-anak kita mesti celik digital dan tahu beza antara selamat dan bahaya,” tegasnya.
Katanya, dalam usaha mengekang ancaman digital termasuk CSAM, kerajaan melancarkan Kempen Internet Selamat (KIS) sebagai satu inisiatif nasional.
"Kempen anjuran Kementerian Komunikasi dan MCMC ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan membina budaya penggunaan internet secara bertanggungjawab.
"KIS menyasarkan murid sekolah rendah, pelajar institut pengajian tinggi (IPT), guru, ibu bapa, warga emas dan komuniti Madani melalui ceramah, pameran, latihan dan pertandingan interaktif," katanya.
Ujarnya, antara aktiviti utama KIS ialah Modul Interaktif Keselamatan Internet untuk bawah 13 tahun, panduan khas untuk guru dan ibu bapa, serta pertandingan Choral Speaking dan Menu Viral bertemakan ‘Semak Sebelum Sebar’.
"Kempen tersebut dilaksanakan dalam dua fasa bermula Januari 2025 hingga 2027, melibatkan lebih 10,000 sekolah, IPT, komuniti dan Pusat Ekonomi Digital (NADI) seluruh negara.
"Modul penting yang diketengahkan termasuk literasi digital, bahaya media sosial dan had umur penggunaan platform sosial.
"KIS juga menyasarkan pembentukan ekosistem digital yang lebih selamat melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk guru, ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti akar umbi," katanya.
Dalam pada itu beliau turut menyeru masyarakat agar tidak mengabaikan peranan masing-masing dan sentiasa mengambil serius sebarang tingkah laku mencurigakan melibatkan kanak-kanak.
Ibu bapa ada yang tidak peka
AZMA
Sementara itu, bekas Yang Dipertua PIBG SK Serting Ilir, Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar berkata, ramai ibu bapa tidak peka terhadap ancaman ini dan menyangka ia hanya berlaku melalui penculikan atau di luar negara.
"Sedangkan ia boleh berlaku di rumah sendiri. Sekali anak memuat naik gambar ke media sosial tanpa kawalan, risikonya sudah ada,” katanya.
Menurutnya, isu keselamatan digital jarang dibincangkan dalam mesyuarat PIBG, yang lebih fokus kepada akademik atau disiplin.
Beliau mencadangkan agar sekolah dan PIBG menubuhkan Unit Keselamatan Digital bagi merangka garis panduan serta kempen kesedaran kepada ibu bapa dan pelajar.
"Guru juga perlukan latihan untuk mengenal pasti tanda-tanda eksploitasi digital dalam kalangan murid,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha kerajaan perlu disokong dengan pendekatan mudah dan jelas agar mesej keselamatan digital sampai ke semua peringkat masyarakat.
CSAM bawa trauma
NURHAFIZAH
Pensyarah Kanan USIM, Dr Nurhafizah Mohd Sukor menjelaskan bahawa pendedahan kepada kandungan CSAM boleh menyebabkan trauma emosi mendalam dalam jangka masa pendek dan panjang.
"Kanak-kanak boleh berasa malu, takut, panik dan hilang kepercayaan terhadap orang sekeliling. Jika tidak ditangani, luka emosi ini boleh berlarutan hingga dewasa.
" Tanda-tanda yang perlu diperhatikan termasuk perubahan sikap, gangguan tidur, hilang selera makan, menjadi pendiam atau mudah marah," katanya.
Selain itu katanya, mereka akan menjadi panik apabila berdepan dengan unsur-unsur yang menyerupai perbuatan pemangsa atau visual yang didedahkan.
"Bagi jangka masa panjang, luka emosi akan dialami sehingga kanak-kanak akan mengalami trauma yang melibatkan 'flashback' ingatan terhadap perlakuan pemangsa," katanya.
Beliau menasihatkan ibu bapa agar memberi sokongan emosi, membuka ruang komunikasi dan mendapatkan bantuan profesional jika anak menunjukkan simptom trauma.