Nahas pelajar UPSI: Waris belum fikir saman pengendali syarikat bas

Iklan
Bapa kepada Allahyarham Sufea Adela, Maslihaizan Yahya, 50, berkata, mereka belum membincangkan mengenai perkara itu.

JERTEH - Belum ada sebarang perbincangan antara keluarga untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali syarikat bas, Kenari Utara yang terlibat nahas mengakibatkan kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bapa kepada Allahyarham Sufea Adela, Maslihaizan Yahya, 50, berkata, mereka belum membincangkan mengenai perkara itu.

Iklan
Iklan

Maslihaizan memberitahu, mereka hanya mahu memberi fokus terhadap perkara berkaitan anaknya sebelum memikirkan perkara itu.

"Saya belum berbincang dengan keluarga dan mahu menyelesaikan urusan anak saya terlebih dahulu," katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Hadhari di sini pada Selasa.

Iklan

Dalam pada itu beliau turut meluahkan kekecewaan dengan pengurusan UPSI kerana tidak dapat memberi maklumat tepat mengenai keberadaan anaknya selepas kemalangan berlaku.

"Kemalangan berlaku awal pagi tetapi keluarga hanya mengetahuinya melalui media sosial.

Iklan

"Saya diberitahu oleh salah seorang anak saudara bahawa bas yang dinaiki anak saya berlaku kemalangan selepas melihatnya di Facebook," katanya.

Jelasnya lagi, sebaik sahaja mengetahui mengenai kemalangan itu pada jam 4.30 pagi, beliau terus menghubungi Hospital Gerik, namun tiada maklumat jelas kerana masih sibuk menguruskan jenazah.

"Saya kemudian terus bergegas ke Hospital Gerik kira-kira jam 5 pagi tetapi hanya dimaklumkan anak saya dihantar ke Hospital Ipoh pada jam 1 petang," katanya.

Sementara itu, ibu saudara Allahyarham Mohd Aqil Taqiuddin Mohd Sofian iaitu Zainun Ismail, 61, berkata, ahli keluarga reda dengan pemergian anak saudaranya itu.

"Ibu bapa Mohd Aqil Taqiuddin juga tabah menerima ketentuan ALLAH SWT walaupun sedih dengan pemergian anak mereka," katanya.

Zainun yang tinggal di Felda Kerteh 3, Paka memberitahu tidak menyangka pemergian anak saudaranya kerana baharu sahaja bertemu pada Hari Raya Aidiladha.

Katanya lagi, dia dimaklumkan anaknya kira-kira jam 2 pagi Ahad selepas berita kemalangan itu dikongsi ahli keluarga terdekat di grup WhatsApp keluarga.

Dalam kemalangan yang berlaku antara jam 12.30 hingga 1 pagi itu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang disewa khas dari Jertih ke Tanjung Malim terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan jenis Perodua Alza di JRTB berhampiran Tasik Banding.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.