Israel bedil Syria, dakwa bunuh anggota Hamas

Iklan
Anggota keselamatan Syria berkawal di lokasi serangan udara Israel di Damsyik. Foto AFP

SYRIA – Tentera Israel melancarkan serangan udara terbaharu di selatan Syria pada Ahad, dengan mendakwa berjaya membunuh seorang anggota Hamas di kawasan Mazraat Beit Jin, lapor Al-Jazeera.

Menurut kenyataan rasmi di saluran Telegram, serangan itu menyasarkan individu yang didakwa sebagai anggota kumpulan pejuang Palestin tersebut.

Iklan
Iklan

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) memaklumkan, serangan itu turut mencederakan dua orang lain selepas sebuah kenderaan menjadi sasaran berhampiran zon penampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Hamas setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai dakwaan tersebut.

Iklan

Israel telah melancarkan 61 serangan di Syria sejak awal tahun ini, melibatkan 51 serangan udara dan 10 serangan darat, menurut SOHR.

Awal minggu ini, dua roket dilancarkan dari Syria ke arah wilayah Israel iaitu insiden pertama sejak bekas Presiden Bashar al-Assad digulingkan pada Disember lalu.

Iklan

Dua kumpulan bertanggungjawab atas serangan itu dikenali sebagai"Briged Syahid Mohammed Deif” dan"Barisan Penentangan Islam di Syria”, kedua-duanya kumpulan kecil yang sebelum ini tidak begitu dikenali.

Susulan serangan tersebut, Israel membalas dengan serangan ke selatan Syria, dan Menteri Pertahanan, Israel Katz, menegaskan Syria bertanggungjawab sepenuhnya atas sebarang ancaman dari wilayahnya.

Menteri Luar Syria, Asaad al-Shaibani, mengecam tindakan Israel dan menyifatkannya sebagai"provokasi terancang” yang bertujuan menggugat kestabilan negara yang sedang membina semula selepas perang.

"Syria tidak mencari perang, sebaliknya mahu menumpukan kepada pemulihan dan pembinaan semula negara,” katanya.

Israel turut dikecam kerana terus membedil infrastruktur ketenteraan Syria, walaupun rundingan tidak langsung untuk meredakan ketegangan telah dimulakan antara kedua-dua negara.

Sejak Presiden Ahmed al-Sharaa mengambil alih pentadbiran selepas kejatuhan Assad, Israel mendakwa kerajaan baharu Syria cenderung kepada fahaman jihad.

Namun, pentadbiran baharu Syria semakin diterima antarabangsa selepas Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah menarik balik sekatan bulan lalu, sekali gus memberi harapan baharu kepada negara yang terjejas lebih satu dekad akibat perang saudara. - Agensi