BESUT - Jenazah seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Adib Hazim Halim, 21, yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak, disifatkan berada dalam keadaan sempurna dan seolah-olah sedang tidur.
Ibunya, Ruslinan Abd Razak, 55, berkata, anak keenam daripada tujuh beradik itu hanya mengalami sedikit calar pada bahagian muka dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas kemalangan tersebut.
"Alhamdulillah. Jenazah anak sempurna macam sedang tidur, cuma terdapat sedikit kesan calar pada bahagian muka arwah," katanya ketika ditemui pemberita selepas urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Kampung Pasir Badak, Hulu Besut di sini, malam Isnin.
Menurut Ruslinan, urusan pengebumian anaknya juga berjalan lancar dan ramai jemaah yang hadir ketika solat jenazah di Masjid Hadhari di Jertih, di sini sebaik jenazah tiba dari Hospital Gerik.
"Alhamdulillah, urusan pengebumian juga dipermudahkan. Arwah memang seorang anak yang baik, peramah, rajin mengaji dan sangat menghormati orang tua.
"Setiap malam lepas solat Maghrib dia baca Surah Yasin dan al-Mulk, tidak pernah tinggal," jelasnya.
Menurutnya, kata-kata terakhir anaknya sebelum menaiki bas ke kampus UPSI dari Jertih sangat menyentuh hati.
"Sebelum balik ke kampus, dia peluk saya dua kali, cium saya dan ayahnya, lepas tu naik bas. Tapi dia turun semula, salam dan minta maaf lagi.
"Sebelum tu dia ada hantar mesej kata-kata khusus kepada saya sempena hari lahir saya pada Sabtu lalu, supaya saya terus kuat, kata-kata tulis 'Istimewa untuk ibu, terus kuat'.
"Saya hairan juga kenapa dia cakap macam tu.. rupanya petanda dia mahu pergi selamanya,"ujarnya sebak.
Jenazah Muhammad Adib Hazim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Badak pada malam Isnin dan merupakan antara mangsa terawal dibawa pulang ke Terengganu dari Hospital Gerik bagi urusan pengebumian.
Terdahulu, dalam kejadian awal pagi Isnin, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar UPSI dari Jertih ke kampus di Tanjung Malim dipercayai terbabas di JRTB berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Sebanyak 15 nyawa terkorban termasuk 13 mangsa di lokasi kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di hospital.
Mangsa lain yang turut cedera dirawat di Hospital Gerik dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.