Gema ngauman Prabowo

Iklan
Probowo ketika berucap pada hari memperingati Pancasila pada 2 Jun lalu menekankan perjuangan menentang rasuah, membasmi kemiskinan dan kelaparan di Indonesia.

NADANYA keras dan tegas. Kandungannya penuh amaran dan kata dua. Ucapannya pada hari memperingati Pancasila di Jakarta pada 2 Jun baru lalu hanya 18 minit, di antara yang terpendek pernah disampaikan oleh Presiden Prabowo Subianto, tetapi ngaumannya luar biasa.

Bagaimanapun apa yang beliau bangkitkan dalam ucapan itu bukanlah perkara baharu. Memberi amaran kepada pengamal rasuah dan menteri serta penjawat awam telah banyak kali disuarakannya sebelum ini.

Iklan
Iklan

Apa yang lebih menarik perhatian adalah konteks ucapan itu dalam suasana politik dan ekonomi semasa. Juga kehadiran tiga orang tokoh – mantan Presiden kelima Indonesia, Megawati Sukarno Puteri yang juga Ketua Umum PDIP, mantan Timbalan Presiden, Try Sutrisno yang juga pernah menjadi Ketua Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) dan mantan Timbalan Presiden, Yusuf Kalla.

Sejak menjadi Presiden bulan Oktober tahun lalu, ini merupakan kali kedua Prabowo bertemu Megawati. Sekian lama cadangan untuk mempertemu mereka tidak membuahkan kejayaan sehinggalah pada 7 April apabila mereka makan malam di kediaman Megawati.

Iklan

Khabarnya pertemuan mereka berdua tidak mendapat restu mantan Presiden Joko Widodo (Jokowi). Jokowi sudah berpatah arang dengan Megawati, lebih-lebih lagi setelah beliau, anaknya, Gibran Rakabuming Raka dan menantunya, Bobby Nasution dipecat daripada PDIP.

Pengaruh Jokowi ke atas Prabowo masih kuat. Prabowo masih sangat terhutang budi pada Jokowi kerana kemenangannya dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) tahun 2014.

Iklan

Di Gedung Pancasila, imej, optik dan gerak geri mereka berdua tentulah mendapat perhatian luar biasa. Kehadiran Try Sutrisno juga menjadi perbincangan yang hangat. Try Sutrisno adalah tokoh yang amat dihormati di Indonesia.

Sokongan beliau terhadap penyataan sekumpulan mantan jeneral Indonesia yang menuntut lapan perkara dari Prabowo tentulah menarik perhatian.

Yang kontroversi tentulah tuntutan kelapan, yakni memakzulan (impeachment) Timbalan Presiden Prabowo sendiri, Gibran.

Penyataan bersama Forum Purnawirawan Tentera Republik Indonesia itu tidak berakhir di situ. Secara rasmi mereka sudah menulis surat kepada Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) untuk memulakan proses mengikut lunas-lunas Perlembagaan

Proses pemakzulan bagi mereka yang berada di puncak kekuasaan pernah berlaku sebelum ini, melibatkan dua orang presiden.

Cuma soalnya apakah proses kali ini akan mendapat sokongan dua pertiga wakil DPR sebelum dibawa ke Mahkamah Konstitusi?

Kehadiran orang yang menaungi tuntutan pemakzulan Gibran dalam majlis rasmi negara yang turut dihadiri oleh Gibran tentulah terasa janggal.

Apakah penghormatan yang diberikan oleh Prabowo pada Try Sutrisno dalam majlis itu dan dalam majlis Hari Lahir Tentera Darat sebelum itu pertanda bahawa beliau tidak menghalang proses hukum berkaitan pemakzulan itu?

Yusuf Kalla pula akhir-akhir ini amat kritikal terhadap Jokowi dan keluarganya. Banyak orang mungkin skeptikal tentang kenyataan Prabowo untuk membasmi rasuah dan memberi amaran menamatkan khidmat menteri dan pimpinan jabatan dan organisasi yang"tidak setia pada negara”.

Beliau juga mahukan para pemimpin agar"segera bersihkan diri”. Beliau menganggap kelemahan besar Indonesia adalah"sikap mental para elit bangsa” yang bermaksud mereka pada peringkat kekuasaan atau yang memegang jawatan penting.

Prabowo mengingatkan bahawa masih berlaku"penyelewengan, rasuah dan manipulasi” secara berleluasa"di tubuh kekuasaan”. Beliau akan bertindak tanpa memandang bulu, latar belakang keluarga, parti atau kedudukan.

Beliau mahu mereka kembali pada nilai-nilai Pancasila yang asal. Tema kali ini adalah"Memperkukuh Ideologi Pancasila: Menuju Indonesia Raya”.

Kesan rasuah dan penyelewengan

Prabowo sedar kesan rasuah dan penyelewengan pada rakyat Indonesia. Beliau sendiri menyentuh isu kemiskinan secara menyeluruh dalam buku Paradoks Indonesia: Pandangan Strategis Prabowo Subianto. Beliau menulis tentang kekayaan sumber alam negara itu tetapi rakyatnya rata- rata miskin.

Baru-baru ini Macro Poverty Outlook Bank Dunia mencatatkan hampir 61 peratus rakyat Indonesia berada di bawah garis kemiskinan. Ini bermakna 171 juta orang.

Walaupun jumlah ini dipertikaikan oleh Kerajaan Indonesia tetapi data terbaru ini patut menjadi wake-up call bagi Prabowo.

Prabowo sendiri mengenal pasti beberapa isu dasar yang dihadapi oleh rakyat termiskin. Maka itu beliau menggerakkan program Makan Bergizi Gratis yang kosnya cukup besar.

Bagi membiayai program raksasa ini beliau melancarkan dasar penjimatan yang menurut banyak pihak menjejaskan program pembangunan lain untuk rakyat.

Prabowo berhadapan dengan sekian banyak masalah ekonomi yang kritikal. Baru-baru ini nilai rupiah jatuh pada kadar lebih buruk dari tahun 1998. Pengangguran di negara itu adalah yang kedua tertinggi di kalangan negara-negara ASEAN.

Setiap hari ada sahaja berita pemberhentian kerja beramai-ramai atau retrenchment (istilah rasminya adalah Pemutusan Hubungan Kerja atau PHK). Prabowo juga diwariskan oleh hutang negara yang luar biasa banyaknya oleh Jokowi.

Apakah ucapan beliau di Gedung Pancasila itu titik tolak baharu pemerintahannya? Apakah beliau dengan ini akan melepaskan diri dari beban tanggungan budi pada Jokowi? Apakah beliau akan benar-benar membebaskan diri dari tuduhan bahawa di Indonesia terdapat"matahari kembar” di mana Jokowi juga adalah presiden di belakang layar? Apakah beliau akan membuat penyusunan semula Kabinet yang bukan bayang-bayang Jokowi?

Pada masa ini terdapat 17 orang menteri dari Kabinet Jokowi. Tidak mudah menukar semuanya walaupun sebahagian daripada mereka tercalar oleh tuduhan rasuah.

Dalam politik, ada kalanya pemimpin lebih cenderung mengekalkan orang yang korup oleh sebab mereka akan kekal setia membabi buta bagi menyelamatkan diri mereka.

* Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak menulis tentang politik, sastera dan budaya Indonesia.