MUAR – [DIKEMAS KINI] Empat lelaki ditahan manakala empat lagi cedera dalam satu pergaduhan membabitkan kira-kira 20 individu di hadapan sebuah surau berhampiran Jalan Sakeh, Taman Sakeh, di sini, pada awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.45 pagi.
"Empat suspek telah berjaya ditahan, manakala empat lagi sedang menerima rawatan di hospital akibat kecederaan yang dialami.
"Kesemua yang terlibat merupakan warga tempatan. Beberapa lagi suspek masih bebas dan sedang diburu polis,” katanya dalam kenyataan pada malam Isnin.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148, 326 dan 307 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata dan menyebabkan kecederaan parah.
"Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan usaha mengenal pasti semua individu yang terlibat sedang giat dijalankan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Erwine Pedaron di talian 013-7609454 bagi membantu siasatan.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat.