BESUT – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), dengan kerjasama wakil komuniti Besut, telah menyalurkan bantuan segera bagi menguruskan jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam nahas bas ekspres di Gerik, Perak pada Isnin.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr Fadzli Adam berkata, pihaknya menyelaras urusan logistik bagi melancarkan pergerakan dan urusan pengebumian jenazah.
Menurutnya, seramai 80 pelajar dan staf UPSI yang bertugas akan ditempatkan sementara di asrama Kampus Besut, UniSZA, bagi memastikan keselesaan mereka sepanjang berada di sini sehingga awal pagi esok.
"UniSZA menyelaras pergerakan ini bersama UPSI bagi tujuan pengagihan lokasi pengebumian dan koordinasi dengan komuniti setempat.
"Kami akan terus memberikan sokongan dari segi logistik, penempatan dan penyelarasan bersama komuniti tempatan dalam menjayakan urusan pengebumian dengan sebaik mungkin,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, sebanyak 17 van jenazah telah digerakkan dari Masjid Hadhari, Besut menuju ke Perak, diiringi hampir 30 sukarelawan untuk membantu penghantaran jenazah ke kampung halaman masing-masing.
Selain itu, katanya, sebuah bas dan van turut disediakan bagi membawa 13 keluarga mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh bagi proses pengecaman jenazah oleh waris terdekat.
"UniSZA merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa serta warga UPSI atas kehilangan ini dan mendoakan agar semua urusan dipermudahkan,” katanya lagi.
Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, sekumpulan pelajar UPSI dari Kelantan dan Terengganu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke kampus selepas cuti Aidiladha.
Nahas dipercayai berlaku apabila bas terbabit melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza, lalu hilang kawalan sebelum terbalik dan merempuh pembahagi jalan.
Sebanyak 15 pelajar disahkan meninggal dunia, manakala 27 yang lain cedera dan menerima rawatan di Hospital Gerik.