Sakirah sempat serah anak kepada suami sebelum hanyut

Iklan
Pasukan polis, bomba dan APM mencari mangsa yang dikhuatiri lemas selepas kereta terjunam ke Sungai Triang berhampiran Pasar Ayam Kerayong, di sini, petang Isnin. Foto IPD Bera.

BERA - Seorang wanita dikhuatiri lemas apabila kereta dinaiki bersama anak perempuannya yang berusia setahun empat bulan terjunam ke Sungai Triang berhampiran Pasar Ayam Kerayong, di sini, petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang, mangsa, Sakirah Akop, 31, isteri kepada anggota tentera, sempat menyerahkan anak perempuannya kepada suami sebelum dihanyutkan arus deras sungai.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, kejadian berlaku ketika suami mangsa, Abdul Wahid Randa, 32, sedang memancing di tebing sungai berkenaan.

"Ketika itu, mangsa bersama anak berada dalam kereta jenis Perodua Bezza kira-kira lapan meter dari lokasi suaminya memancing.

Iklan

"Tiba-tiba, kereta tersebut bergerak ke hadapan sebelum terjatuh ke dalam sungai,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau memberitahu, mangsa sempat keluar dari kereta dan menyerahkan anak kepada suaminya sebelum dihanyutkan arus deras.

Iklan

"Anak perempuan mangsa selamat, namun mangsa masih belum ditemui,” katanya.

Sebelum itu, Zulkiflee berkata, pihaknya sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 1.50 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pasukan bomba melakukan selaman bagi mencari mangsa. Foto Bomba Pahang.

"Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) dari Balai Bomba Bukit Angin Temerloh turut membantu melakukan selaman di lokasi kejadian pada kedalaman kira-kira enam meter,

"Operasi SAR akan disambung semula esok jam 8 pagi. Kita berharap mangsa dapat ditemui dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata,sepasukan 11 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bukit Angin digerakkan ke lokasi kejadian.

"Operasi mencari dan menyelamat dengan jarak pencarian dijalankan hingga 12 kilometer dari lokasi kereta terjatuh,” katanya.