Nahas pelajar UPSI: Kubur sudah siap digali, hanya tunggu jenazah tiba

Iklan
Nur Ainun Afiqah menunjukkan gambar arwah adiknya ketika ditemui di Kg Anak Ikan, di Besut. Gambar kanan: Kubur Nur Ainul Qistina di Tanah Perkuburan Alor Serdang, di Besut selesai digali sekitar jam 2 petang pada Isnin.

BESUT - Kubur pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21, yang maut dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur–Barat (JRTB), Gerik, telah siap digali oleh penduduk kampung sebelum jenazahnya tiba dari Perak.

Kakak mangsa, Nur Ainun Afiqah Mat Ali, 22, berkata, proses pengecaman mayat adiknya di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh selesai sekitar jam 12.45 tengah hari pada Isnin.

Iklan
Iklan

"Lepas selesai proses pengecaman, keluarga memaklumkan kepada penduduk untuk menggali kubur dan arwah adik akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Alor Serdang.

"Kerja menggali liang lahad siap lebih kurang jam 2 petang. Arwah adik akan dikebumikan sebaik jenazah tiba dari Perak,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mereka di Kampung Anak Ikan di sini pada Isnin.

Iklan

Katanya lagi, sebelum menaiki bas dari Jertih ke Tanjung Malim, Perak, adiknya sempat menghabiskan masa bersama keluarga termasuk bermain congkak dengan ibu mereka, Rohmah Jusoh, 56, dan memasak makanan kegemarannya iaitu ketupat sotong.

"Malam sebelum dia bertolak, kami sempat makan sama-sama. Arwah bungkus ketupat sotong yang dia buat, katanya nak buat bekal dalam perjalanan. Dia memang suka ketupat sotong,” ujarnya sebak.

Iklan

Kongsinya lagi, adiknya juga sempat berkunjung ke Pantai Beting Lintang bersama keluarga sebagai aktiviti terakhirnya sebelum kembali ke kampus.

Nur Ainun Afiqah memberitahu, mereka sekeluarga hanya mengetahui kejadian menimpa Nur Ainul Qistina selepas seorang kenalan ayahnya menelefon sekitar jam 4 pagi.

"Kawan ayah beritahu anak dia turut naik bas yang sama dan mengalami patah tulang rusuk. Bila dengar berita tu, kami terus rasa tak sedap hati dan segera hubungi pihak hospital,” katanya.

Menurutnya lagi, bapanya, Mat Ali Mat Amin, 56, bersama ibu serta seorang abang, Muhammad Iqbal Mat Ali, 27, bertolak ke Perak untuk pengecaman jenazah sebaik menerima khabar kematian itu.

Difahamkan, Nur Ainul Qistina yang merupakan anak keempat daripada tujuh beradik, adalah pelajar jurusan Kaunseling semester dua dan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah, Besut.