Nahas pelajar UPSI: MATA gesa siasatan telus, SOP keselamatan lebih tegas

Iklan
Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan kerja-kerja mencari dokumen penting di lokasi kejadian kemalangan ngeri yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di KM53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik. Foto Bernama

SHAH ALAM – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa agar siasatan menyeluruh dan telus dijalankan, termasuk penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap standard keselamatan pengangkutan di negara ini, bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian nahas bas yang membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Presiden MATA, Datuk Seri Dr Mohd Khalid Harun berkata, pihak yang bertanggungjawab mesti dikenakan tindakan tanpa kompromi, tidak kira sama ada disebabkan kecuaian, kegagalan sistem atau ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Iklan
Iklan

Menurut beliau, aspek keselamatan dalam semua bentuk pengangkutan sama ada untuk pelancong, pelajar mahupun orang awam adalah perkara asas yang tidak boleh dipandang remeh.

Jelasnya, ia merupakan tanggungjawab bersama antara pihak kementerian, badan penguat kuasa, agensi pengangkutan, pengendali perkhidmatan dan institusi pendidikan.

Iklan

"Insiden nahas bas yang melibatkan pelajar UPSI sehingga meragut 15 nyawa di Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) awal pagi tadi bukan sekadar tragedi, tetapi kecemasan nasional yang memerlukan tanggungjawab penuh dan tindakan segera.

"Tragedi ini adalah satu panggilan kesedaran. Kita tidak boleh lagi menganggap keselamatan sebagai perkara kedua. Setiap pihak berkepentingan daripada pengendali hingga penggubal dasar mesti menjadikan keselamatan satu amanah.

Iklan

"MATA mahu setiap pengendali bas persiaran memastikan keselamatan setiap penumpang, khususnya generasi muda dan pelancong kita, terpelihara sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kemalangan kira-kira jam 1.10 pagi Isnin itu membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak sebelum terlibat dalam nahas di Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Menurut maklumat daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hulu Perak, seramai 48 individu berada dalam kenderaan terbabit termasuk seorang pemandu dan pembantu bas serta beberapa penumpang di dalam sebuah Perodua Alza yang turut terlibat.

Seramai 15 pelajar disahkan maut, manakala selebihnya mengalami kecederaan pelbagai tahap dan sedang dirawat di Hospital Gerik serta Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Mohd Khalid memaklumkan, pihaknya yang mewakili persatuan agensi pelancongan dan perjalanan turut mendesak kerajaan untuk melaksanakan pemantauan lebih ketat, audit berkala serta latihan keselamatan wajib kepada penyedia pengangkutan berlesen, terutamanya yang membawa pelajar atau kumpulan besar.

Tambahnya, MATA juga akan mencadangkan kerjasama keselamatan bersama Kementerian Pengangkutan (MoT) dan agensi berkaitan bagi mengelakkan tragedi seperti itu berulang.

"Sekali lagi, kami meratapi kehilangan ini bersama seluruh rakyat Malaysia.

"Semoga Allah SWT menempatkan roh mereka yang terkorban dalam kalangan orang-orang beriman dan mengurniakan kekuatan serta ketabahan kepada ahli keluarga mangsa,” ujar beliau.