BERA - Seorang wanita dipercayai lemas selepas kereta yang dinaiki bersama anaknya terjatuh ke dalam Sungai Triang di Jalan Pasar Ayam-Bandar Baru Bera, di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Sakirah Akop, 31 tahun, berada di dalam kereta jenis Perodua Bezza bersama anaknya, Aleesya Humairah Abdul Wahid, yang berusia setahun 40 hari.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria, maklumat awal yang diterima kira-kira jam 1.58 petang daripada saksi memaklumkan mangsa berada di lokasi bagi menemani suaminya yang sedang memancing.
"Kereta yang dinaiki mangsa dan anak secara tiba-tiba bergerak dan terjatuh ke dalam sungai, namun suami mangsa sempat menyelamatkan anak mereka yang berada dalam kereta.
"Bagaimanapun, mangsa gagal keluar daripada kenderaan itu dan terus dihanyutkan arus deras,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, sepasukan 11 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bukit Angin digerakkan ke lokasi kejadian.
"Operasi mencari dan menyelamat dengan jarak pencarian dijalankan hingga 12 kilometer dari lokasi kereta terjatuh.
"Operasi masih diteruskan dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.