Elak salah guna kutipan derma mangsa nahas Gerik - MPP UPSI

Iklan
Muhammad Qayyim menunjukkan poster mengenai kutipan derma kilat yang dilancarkan berikutan kejadian nahas bas membabitkan penuntut UPSI di Jalan Raya Timur–Barat, Banun, Gerik awal pagi Isnin.

TANJUNG MALIM - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengingatkan supaya tiada pihak mengambil kesempatan atas penderitaan mangsa nahas bas di Gerik dengan menyalahgunakan kutipan derma ikhlas yang sedang dijalankan.

Exco Ekonomi dan Kesusahan MPP UPSI, Muhammad Qayyim Hadif Nazar Masagos berkata, pihaknya telah melancarkan kutipan derma kilat secara rasmi menerusi satu akaun bank yang sah untuk membantu mangsa dan keluarga mereka.

Iklan
Iklan

"Saya ingin tegaskan kutipan ini dijalankan secara rasmi dan sebarang sumbangan hanya boleh disalurkan ke akaun RHB Bank bernombor 25807500029702 atas nama Majlis Perwakilan Pelajar UPSI,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Muhammad Qayyim memberitahu, orang ramai yang menderma dinasihatkan menulis rujukan 'Kemalangan Gerik' pada transaksi bagi memudahkan pengurusan sumbangan.

Iklan

"Kami mohon orang awam jangan mudah percaya kepada mana-mana pihak yang menggunakan nama UPSI atau mangsa untuk meraih keuntungan peribadi," jelas beliau.

Beliau memberitahu, sumbangan itu akan disalurkan terus untuk membantu mangsa dan keluarga terkesan.

Iklan

"Jika ragu-ragu, boleh hubungi kami terus melalui media sosial rasmi MPP UPSI atau nombor telefon yang disediakan.

"Kami tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan atas kesedihan dan simpati orang ramai," jelas beliau.

Orang ramai yang ingin mendapatkan pengesahan atau maklumat lanjut boleh menghubungi pihak MPP menerusi talian 016-446 0135.