SHAH ALAM – Pemuda Pas menzahirkan ucapan takziah kepada kesemua 42 mangsa serta keluarga yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan kenderaan ringan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli, yang dilaporkan berlaku sekitar jam 1 pagi, Isnin.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden turut melahirkan kebimbangan terhadap trend kemalangan yang semakin meningkat membabitkan kenderaan berat seperti bas ekspres, treler dan lori.
Menurutnya, aspek keselamatan kenderaan perlu diberi perhatian serius, termasuk pematuhan kelengkapan wajib seperti beg udara dan tali pinggang keledar bagi meminimumkan impak sekiranya berlaku kemalangan.
"Selain itu, pematuhan undang-undang oleh pemandu serta sikap pengguna jalan raya turut memainkan peranan penting dalam menentukan tahap keselamatan pemanduan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut dalam nahas bas yang berlaku di Gerik pada awal pagi tadi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan tragedi itu sebagai antara insiden paling menyayat hati dalam sejarah institusi tersebut.
Menurut maklumat terkini, beliau memaklumkan bahawa 13 jenazah telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk proses bedah siasat, manakala dua lagi masih berada di Hospital Gerik untuk urusan yang sama.
Sementara itu, Afnan Hamimi menegaskan bahawa usaha mendidik sikap pemandu perlu dipertingkat melalui pelbagai saluran termasuk pendidikan, kempen kesedaran serta pendekatan berasaskan komuniti.
"Hukuman dan undang-undang juga perlu diperkukuh agar menjadi peringatan dan pengajaran kepada semua. Cukuplah tragedi-tragedi seperti ini terus meragut nyawa insan tidak bersalah,” katanya.
Mengakhiri kenyataan, beliau mendoakan agar semua pengguna jalan raya sentiasa dilindungi dan dipelihara oleh ALLAH SWT sepanjang perjalanan masing-masing.