IPOH - Kesemua jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menjadi mangsa nahas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, dijangka selesai dibedah siasat tengah malam ini.
Pengarah Kesihatan Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, setakat jam 3.30 petang Isnin, enam jenazah telah selesai dibedah siasat.
Menurutnya, tempoh bagi setiap bedah siasat mengambil masa antara dua hingga tiga jam, bergantung pada keadaan jenazah.
"Proses bedah siasat telah dimulakan. Antara yang perlu dilaksanakan dalam proses bedah siasat, pertama sekali pengecaman jenazah yang akan dilakukan oleh ahli keluarga waris.
"Saya dimaklumkan masih ada waris yang belum tiba di Ipoh. Ada beberapa jenazah yang masih belum melalui proses pengecaman.
"Secara amnya, proses bedah siasat akan mengambil masa dua hingga tiga jam untuk satu-satu jenazah dan buat masa ini kami mempunyai tiga pasukan yang bekerja secara serentak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pada Isnin.
Dr Feisul Idzwan berkata, selepas selesai dibedah siasat, jenazah mangsa akan diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Isnin itu, 15 pelajar disahkan maut manakala 27 lagi cedera dan menerima rawatan di Hospital Gerik serta Hospital Baling, Kedah.
Turut cedera ialah pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindannya yang berusia 54 tahun.
Nahas dipercayai berlaku apabila bas terbabit melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza sebelum hilang kawalan lalu terbalik dan merempuh pembahagi jalan.