BESUT – Seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fakhrul Arif Rosdi, 20, yang terkorban dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi Isnin, menunjukkan perubahan sikap menjadi pendiam dan tidak banyak bercakap.
Sepupu mangsa, Izwan Iskandar Che Sopian, 27, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah pada hari kedua Aidiladha, ketika menghadiri kenduri saudara di kawasan sempadan Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan.
Menurutnya, ketika itu arwah kelihatan termenung dan tidak banyak bercakap, berbeza berbanding kebiasaannya.
"Selalunya dia ada juga bersembang, tapi masa kenduri tu, dia banyak diam. Dengar sahaja sepupu lain bercakap.
"Masa tu kami rasa pelik tengok perangai dia, lain macam, tak seperti kebiasaan," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pasir Akar, di sini pada Isnin.
Menurutnya, Fakhrul Arif merupakan anak ketiga daripada lima beradik dan kini mengikuti pengajian dalam jurusan Perakaunan di UPSI.
Katanya, sebelum menaiki bas, arwah sempat memberikan wang berjumlah RM21 kepada adik bongsunya, Nurul Effa Shahira Rosdi, 16.
"Adik arwah beritahu tak pernah dapat duit daripada arwah, malam tadi pertama kali dapat tapi dia rasa terkilan kerana wang pemberian terakhir arwah abangnya itu hilang," katanya.
Dia memberitahu, keluarganya hanya mengetahui mengenai tragedi tersebut sekitar jam 4 pagi selepas kakak mangsa melihat berita kemalangan tular di media sosial.
"Waktu dapat tahu arwah kemalangan kami segera menghubungi pihak hospital. Waktu tu hospital sibuk, jadi pengesahan rasmi hanya diterima kira-kira jam 7.30 pagi danarwah memang antara mangsa yang terkorban," katanya.
Izwan Iskandar berkata, empat ahli keluarga Fakhrul termasuk ibu bapanya telah bertolak ke Gerik pagi tadi untuk menguruskan jenazah mangsa.
"Arwah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Akar sebaik tiba dari Hospital Gerik malam ini," ujarnya.