Nahas pelajar UPSI: 'Kami kehilangan genius matematik'

Iklan
Mohamad Aqil bersama bapa dan adiknya ketika di UPSI

KOTA BHARU - Sepupu kepada seorang mangsa kemalangan bas di Jalan Jeli–Gerik, Mohammad Aqil Taqiuddin Mohd Sofian, 21, memaklumkan bahawa mereka sepatutnya mengait buah sawit bersama di kebun milik keluarga di Kampung Gong Bayu, Besut, Terengganu pada Ahad lalu.

Namun, menurut Mohd Syahmi Rossdi, 28, sepupunya itu memaklumkan bahawa dia perlu bertolak pulang ke kampus pada hari tersebut.

Iklan
Iklan

"Sepupu saya sedang mengikuti pengajian semester empat dalam jurusan Matematik dan sering menjadi rujukan saudara-mara untuk menyelesaikan soalan mata pelajaran itu.

"Kami kehilangan seorang genius matematik,” katanya ketika ditemui.

Iklan

Menurut Mohd Syahmi, Mohammad Aqil juga seorang yang sangat berbakat dan kreatif kerana pernah memenangi pertandingan menghias basikal sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu.

Jelasnya lagi, kali terakhir mereka bertemu ialah semasa sambutan Hari Raya Aidiladha, dan arwah antara yang banyak membantu memotong daging korban.

Iklan

"Setiap kali dia pulang ke kampung, saya pasti akan bertemu dengannya kerana kami juga berjiran,” katanya.

Berkongsi detik menerima berita duka itu, Mohd Syahmi berkata, beliau dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut menerusi kumpulan WhatsApp keluarga sebaik sahaja bangun pagi untuk menunaikan solat Subuh.

"Ahli kumpulan memaklumkan bahawa Mohammad Aqil menghembuskan nafas terakhir ketika sedang menerima rawatan di Hospital Ipoh,” katanya sebak.