KUALA LUMPUR - Kemalangan jalan raya akan terus berlaku sekiranya sikap cuai, lalai, tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain dan mementingkan diri masih wujud dalam diri setiap pemandu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sekiranya faktor tersebut menjadi punca berlakunya kemalangan, maka hukuman sewajarnya perlu dikenakan terhadap mereka mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
"Pelbagai usaha telah dibuat oleh pihak berkuasa dan agensi berkaitan seperti tindakan penguatkuasaan dan kempen keselamatan, namun segala-galanya terletak pada sikap pemandu itu sendiri," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Razarudin berkata, pelbagai langkah telah diambil dari segi penguatkuasaan, kempen keselamatan jalan raya, kawalan lalu lintas, pengeluaran saman serta pendidikan berkaitan undang-undang jalan raya.
"Usaha itu akan sia-sia sekiranya pengguna jalan raya tidak mengubah sikap dan terus melanggar undang-undang," katanya.
Beliau berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sentiasa melaksanakan pemantauan dan kawalan di lokasi panas yang kerap berlaku kemalangan.
"Kita mengambil tindakan terhadap pemandu yang dikesan melakukan kesalahan lalu lintas termasuk memberi peringatan dan saman serta mencadangkan supaya mereka yang melakukan kesalahan berat disenarai hitam," tegasnya.
Beliau menambah, kejadian kemalangan maut yang berlaku pada 13 Mei lalu sehingga meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) PDRM, serta kemalangan maut lain, masih tidak dijadikan iktibar oleh sebahagian pemandu yang tidak bertanggungjawab.
"Ini belum mengambil kira lagi faktor kenderaan berat seperti lori dan bas yang tidak layak berada di atas jalan raya, namun masih digunakan oleh pihak tertentu,” katanya.
Ditanya sama ada hukuman berkaitan keselamatan jalan raya masih dianggap ringan hingga belum mendatangkan kesedaran, Razarudin berkata, perkara itu terletak dalam bidang kuasa Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Saya percaya segala keputusan dan perancangan oleh jawatankuasa berkenaan adalah relevan dan sesuai digunapakai pada masa ini dengan mengambil kira segala faktor mengenai tahap keselamatan jalan raya di negara kita,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa siasatan secara menyeluruh dan terperinci akan dilakukan oleh pihak polis bagi mengenal pasti punca utama kejadian kemalangan.
"Tindakan tegas akan diambil sekiranya benar ada unsur cuai dan lalai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga dan waris mangsa kemalangan bas yang membawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada Isnin.
Seramai 15 penuntut UPSI meninggal dunia selepas bas yang dinaiki mereka terbabit dalam nahas di Jalan Raya Timur–Barat, berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.