Nahas pelajar UPSI: Amni, Sufea penerima Anugerah Dekan

Iklan
Nurul Izzati (tengah) bersama rakannya, Nur Syakirah (kanan) dan Nur Hasya (kiri) menunjukkan gambar Sufea (kiri) dan Amni (kanan) yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur–Barat, Banun, Gerik awal pagi Isnin.

TANJUNG MALIM – Dua penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur–Barat, Banun, Gerik awal pagi Isnin disifatkan sebagai pelajar cemerlang dan penerima Anugerah Dekan.

Mangsa, Sufea Adila Moslihaizan dan Nik Amni Nadiah Nor Zabir, masing-masing berusia 21 tahun yang merupakan rakan baik, maut dalam perjalanan pulang ke UPSI selepas bercuti di kampung halaman sempena sambutan Aidiladha.

Iklan
Iklan

Rakan mereka, Nurul Izzati Mohd Rusli, 20, berkata, dia masih terkejut dengan pemergian dua rakannya itu yang dianggap sebagai contoh pelajar berdedikasi dan sangat komited terhadap pelajaran.

"Amni dan Sufea bukan sahaja cemerlang, malah sangat rajin dan selalu membantu rakan-rakan apabila ada kuiz atau peperiksaan, mereka tidak kedekut ilmu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampus UPSI Sultan Azlan Shah di sini pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, Amni juga memegang jawatan sebagai bendahari dalam badan pelajar dan dikenali sebagai seorang yang bertanggungjawab serta komited dalam setiap tugasan.

"Saya rapat dengan Amni dan arwah disenangi ramai. Kalau minta tolong urus kutipan atau kerja persatuan, dialah yang paling pantas bertindak.

Iklan

"Arwah juga seorang yang pemurah dan tidak pernah berkira, terutama bab makanan,” ujar penuntut tahun dua Fakulti Sains Kemanusiaan itu.

Seorang lagi rakan, Nur Hasya Abdul Rahim, 21, berkata, Sufea dan Amni aktif dalam projek keusahawanan universiti dan sempat menjual makanan Korea, ramyeon bagi subjek Budaya Keusahawanan.

"Itulah kali terakhir saya jumpa mereka, ketika membeli makanan yang mereka jual minggu sebelum cuti. Namun tak sangka itu menjadi momen terakhir bersama,” katanya.

Ujarnya, kedua-dua mangsa turut menyertai kelas silat pada semester lepas dan kali terakhir dia berjumpa Amni sebelum cuti perayaan.

"Arwah Amni nampak ceria dan sempat menyatakan tak sabar hendak balik raya. Tak sangka itu kali terakhir kami berbual,” katanya sebak.

Seorang lagi rakan mangsa, Nur Syakirah Pakhrolrazi, 20, berkata, Sufea dan Amni pernah tinggal serumah dengannya pada semester lalu dan mereka sering bertegur sapa walaupun tidak sebilik.

"Kami rapat juga sebab satu rumah, jadi memang rasa kehilangan sangat. Tak sangka mereka pergi tinggalkan kami buat selamanya,” katanya.

Nur Syakirah berkata, kedua-dua mangsa berasal dari Besut, Terengganu dan sudah berkawan rapat sejak zaman persekolahan lagi.

"Saya sempat berjumpa mereka sebelum cuti Aidiladha ketika menghadiri kelas Fiqh Ibadah. Saya nampak tiada perubahan pun, mereka nampak ceria seperti biasa,” tambahnya.