Nahas pelajar UPSI: Sepupu Zoey Rahman antara mangsa maut

Iklan
Sepupu kepada pelakon Zoey Rahman merupakan antara mangsa yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas membawa pelajar Universiti UPSI.

SHAH ALAM - Sepupu kepada pelakon Zoey Rahman merupakan antara mangsa yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi tadi.

Memetik laporan Kosmo!, perkara tersebut disahkan oleh Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman, 40, menerusi hantaran WhatsApp berkenaan arwah Fakhrul Arif Rosli.

Iklan
Iklan

Zoey berkata, beliau masih terkejut menerima khabar duka itu.

"Saya menerima khabar tersebut subuh tadi dalam kumpulan WhatsApp keluarga.

Iklan

"Mula-mula kami tidak pasti sama ada arwah selamat atau tidak, cuma diberitahu bahawa 15 orang terkorban.

"Tetapi selepas beberapa minit, kami menerima pengesahan bahawa dia meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Iklan

Difahamkan, arwah dalam perjalanan pulang dari kampung halaman di Pasir Akar, Jerteh, Terengganu ke UPSI, Tanjung Malim, Perak selepas menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga.

Dalam pada itu, Zoey turut menyifatkan arwah sebagai seorang yang pendiam dan baik hati.

Beliau juga berkongsi perbualan antara arwah dan ibunya sebelum kejadian.

"Saya tidak pulang ke kampung pada Aidiladha kali ini, kali terakhir kami berjumpa pun semasa Aidilfitri yang lalu.

"Saya boleh sifatkan dia seorang yang baik, pendiam dan bijak orangnya.

"Mak arwah ada cakap dia berhasrat untuk ke luar negara bagi menyambung pelajaran, tetapi rupa-rupanya ‘pergi’ ke negeri abadi,” ujarnya.

Zoey turut memaklumkan bahawa beliau masih menunggu perkembangan terkini daripada keluarga arwah yang kini berada di hospital.

"Sekarang saya juga masih menunggu maklumat lanjut daripada keluarga arwah kerana mereka sudah sampai di sana.

"Jenazah masih berada di hospital untuk proses bedah siasat,” jelasnya.

Selain itu, beliau berharap agar keluarga mangsa terus kuat menghadapi ujian berat ini.

"Saya harap keluarga arwah dan mangsa yang lain tabah dengan ujian ini.

"Kemalangan memang tidak dapat dielakkan, tetapi saya harap ada tindakan susulan selepas kejadian ini.

"Setiap kali musim perayaan, pasti ada sahaja kejadian seperti ini yang melibatkan kenderaan berat,” katanya.

Untuk makluman, sekurang-kurangnya 15 individu dilaporkan maut dalam nahas membabitkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Difahamkan, nahas yang berlaku sekitar jam 1 pagi itu melibatkan sebuah bas yang membawa seramai 42 pelajar UPSI.