BESUT - Pemergian salah seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas di Gerik, Perak, memberi kesan mendalam kepada keluarganya kerana mangsa merupakan seorang hafiz 30 juzuk al-Quran.
Nurly Shahirah Azman, 23, antara 15 pelajar UPSI yang meninggal dunia dalam tragedi di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, awal pagi Isnin.
Abangnya, Mohd Najmuddin Azman, 28, berkata, adik bongsunya itu sering mengamalkan bacaan kitab suci al-Quran setiap malam sejak kecil.
Menurutnya, kali terakhir beliau bertemu Nurly Shahirah ialah di kampung halaman mereka di Gong Pasir, dekat Jabi, di sini, sebelum Allahyarham bertolak pulang ke UPSI malam sebelumnya.
"Dia ada beritahu mahu ke rumah saya di Kajang minggu hadapan, tetapi hajat itu tidak kesampaian," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di sini pada Isnin.
Mohd Najmuddin berkata, beliau hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada bapanya selepas Subuh pada Isnin.
"Waktu terima panggilan tu saya sedang dalam perjalanan pulang dari Gua Musang ke Kajang.
"Saya terus hubungi pihak hospital serta bilik gerakan polis untuk mendapatkan kepastian.
"Mula-mula saya diberitahu nama adik tiada dalam senarai pelajar yang dirawat, namun selepas itu baru saya dimaklumkan dia terlibat dan telah meninggal dunia,” ujarnya sebak.
Sementara itu, abang sulung mangsa, Mohd Farid Firdaus Azman, 36, berkata, Nurly Shahirah yang merupakan bekas pelajar SM Imtiaz Besut, bercita-cita menjadi guru pendidikan khas dan dijadualkan menjalani latihan praktikal bermula Ogos depan.
"Arwah simpan cita-citanya sejak kecil untuk jadi pendidik dan kami sekeluarga amat terkejut dengan tragedi ini.
"Walaupun Nurly merupakan harapan keluarga, kami sekeluarga reda dengan takdir yang menimpa," katanya.
Mohd Farid Firdaus memberitahu, ibu bapa mereka kini berada di Hospital Gerik untuk proses pengurusan jenazah sebelum dibawa pulang ke Kampung Gong Pasir untuk dikebumikan.