SHAH ALAM – Badan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu telah menggerakkan sebanyak 15 buah van jenazah ke Ipoh bagi membantu pengurusan jenazah mangsa kemalangan maut yang membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), awal pagi Isnin.
Menurut Setiausaha Bersatu Terengganu, Badrolhisham Mohd Shafie, usaha itu adalah hasil kerjasama antara Bersatu Terengganu dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membawa pulang jenazah ke kampung halaman masing-masing.
"Ketua Bersatu Bahagian Besut dengan kerjasama beberapa NGO bertindak pantas mengatur bantuan logistik termasuk menyediakan van jenazah bagi membawa pulang mangsa ke kampung halaman masing-masing.
"Kami menzahirkan rasa dukacita atas tragedi ini dan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga 15 pelajar yang terkorban. Kesemua pelajar terbabit merupakan anak kelahiran Terengganu.
"Bersatu Terengganu mendoakan agar roh semua mangsa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang yang soleh,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussen turut bergegas ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh bagi membantu menguruskan kebajikan waris serta mangsa yang cedera.
"Kita juga telah berhubung dengan Ketua Badan Perhubungan Bersatu Perak merangkap Naib Presiden Bersatu Malaysia, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menyelaras bantuan di pihak negeri itu.
"Kerjasama semua pihak amat dihargai agar urusan pengurusan jenazah dan mangsa yang masih dirawat dapat diselesaikan sebaik mungkin,” katanya lagi.
Dalam tragedi menyayat hati itu, seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut manakala tujuh lagi parah selepas bas yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak, awal pagi Isnin.
Difahamkan, bas yang membawa pelajar UPSI itu sedang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak.