BANDAR BAHARU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah sedang mengenal pasti sama ada pelepasan sisa air ladang sawit berdekatan Sungai Kerian disyaki punca kematian kira-kira 5,000 ekor ikan tilapia baru-baru ini.
Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pasukan penyiasat JAS Kedah telah melakukan pemeriksaan di sepanjang sungai tersebut bagi mengenal pasti punca kejadian.
Menurutnya, siasatan dijalankan selama tiga hari bermula pada 21 Februari lalu mendapati terdapat beberapa punca air pelepasan dari ladang sawit yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
"Kita dapati terdapat beberapa punca air pelepasan dari ladang kelapa sawit memasuki Sungai Samagagah, Perak seterusnya ke Sungai Kerian yang kemudiannya mengalir masuk ke Negeri Kedah.
"Air yang dilepaskan adalah dari parit takungan di ladang kelapa sawit. Air ini berkemungkinan bercampur dengan sisa baja dan sisa racun yang mana apabila takungan tersebut sampai pada paras tertentu, ia akan dipam secara manual ke Sungai Kerian," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, ujian kualiti air oleh JAS Kedah di tempat pelepasan tersebut mendapati ia bersifat asidik.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, hasil siasatan dipanjangkan ke agensi berkaitan kawal selia air, perikanan dan perladangan di negeri terlibat untuk tindakan lanjut.
"Isu air pelepasan dari parit takungan di ladang kelapa sawit atau dari mana-mana ladang pertanian yang lain ke sungai perlu diberi perhatian secara kolektif bagi memastikan ekosistem sungai tidak terjejas," katanya.
Sebelum ini, Sharifah Zakiah berkata, JAS Kedah menerima aduan berhubung kematian ikan sangkar di lokasi kejadian baru-baru ini.
Beliau berkata, kejadian serupa pernah dilaporkan November lalu di mana pengusaha mendakwa mengalami kerugian mencecah kira-kira RM10,000 apabila dianggarkan 5,000 ternakan mati dalam kejadian terbabit.