Mahkamah Tinggi tolak permohonan prosiding komital bekas pengendali Menara KL

Iklan
Mahkamah Tinggi tolak permohonan bekas pengendali Menara KL untuk prosiding komital terhadap tujuh individu dan kerajaan.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menolak permohonan bekas pengendali Menara Kuala Lumpur untuk memulakan prosiding komital terhadap tujuh individu dan kerajaan.

Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd dan syarikat induknya Hydroshoppe Sdn Bhd memohon tindakan menghina mahkamah terhadap lapan pihak berkenaan kerana didakwa mengganggu proses keadilan, semasa prosiding undang-undang sedang berlangsung.

Iklan
Iklan

Hakim Roz Mawar Rozain yang menolak permohonan itu telah memerintahkan kedua-dua syarikat berkenaan membayar RM25,000 kepada responden, termasuk kepada Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Selain Fahmi, antara yang turut dinamakan sebagai responden adalah ketua polis daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman; Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Iklan

Dalam penghakimannya, Hakim Roz Mawar memutuskan bahawa mahkamah tidak setuju wujud kes prima facie untuk diberikan kebenaran bagi memulakan prosiding menghina mahkamah.

Beliau seterusnya berkata, mahkamah juga tidak diyakinkan oleh dakwaan Hydroshoppe bahawa pihak berkuasa telah menceroboh hartanya apabila kontraknya dengan kerajaan tamat pada 31 Mac.

Iklan

Hari ini mahkamah turut menolak permohonan Hydroshoppe dan Menara KL untuk injunksi dua pihak (inter-parte).

Mahkamah kemudian memerintahkan kedua-dua syarikat masing-masing membayar RM20,000 kepada kerajaan, serta kepada LSH Service Master Sdn Bhd, LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd.

Mahkamah juga menetapkan 14 Julai untuk mendengar permohonan pembatalan oleh Fahmi serta LSH Service Master Sdn Bhd, LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd.

Hydroshoppe dan Menara KL telah memfailkan saman pelanggaran kontrak terhadap responden, mendakwa LSH dan unitnya telah menyebabkan pelanggaran kontrak yang telah dipersetujui oleh syarikat (Hydroshoppe dan Menara KL) dengan kerajaan dalam mesyuarat pada Ogos 2022.

Mereka mendakwa LSH Capital dan unitnya telah melakukan bantuan tidak jujur, dan menuntut supaya pemberian konsesi Menara KL kepada LSH Master Service diisytiharkan terbatal dan menyalahi undang-undang.

Mereka juga menuntut ganti rugi yang dianggarkan RM1 bilion, dan supaya konsesi bangunan ikonik Kuala Lumpur dipindahkan semula kepada mereka. - Bernama