Nenek pilu tak sempat bersalaman dengan Fatin Nasrien

Iklan
Fatin Nasrien

BESUT –"Setiap kali balik kampus, arwah mesti cari saya dulu... tapi kali ini kami tak sempat jumpa.”

Demikian luahan pilu Aisah Abdul Rahim, 67, nenek kepada Fatin Nasrien Fadli, 22, yang terkorban dalam kemalangan bas yang dinaiki pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik pada awal pagi Isnin.

Iklan
Iklan

Fatin Nasrien, yang merupakan cucu sulung Aisah, pulang beraya ke kampung halamannya di Kampung Kerandang, di sini sejak Khamis lalu sebelum menaiki bas pulang ke kampus selepas solat Isyak malam tadi.

"Kali terakhir saya jumpa arwah ialah pada pagi Hari Raya Korban, sebelum dia balik ke kampung ibunya di Tanah Merah, Kelantan.

Iklan

"Lepas itu, saya tak sempat jumpa dan bersalaman macam selalu," katanya sebak ketika ditemui di kediamannya di sini pada Isnin.

Aisah berkata, dia dimaklumkan mengenai tragedi yang menimpa cucunya itu oleh bapa arwah pada awal pagi Isnin.

Iklan

"Bila dapat tahu Fatin kemalangan, saya terkejut. Arwah memang rapat dengan saya. Raya baru-baru ini dia ada buat tapai untuk kami makan bersama. Saya rasa sebak bila teringat sebab baru saja jumpa.

"Bila datang rumah tempoh hari, dia sempat cakap nak praktikal di sekolah di Jabi bulan depan, tapi semuanya hanya tinggal kenangan," luahnya sayu.

Menurutnya, ibu bapa arwah dan empat adik-beradiknya yang lain kini dalam perjalanan ke Hospital Gerik, Perak bagi urusan pengecaman dan pengurusan jenazah.

Jenazah Fatin Nasrien dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerandang di sini selepas selesai proses bedah siasat.

Sebelum ini, sebuah bas yang membawa 42 pelajar UPSI dari Jertih, di sini ke Tanjung Malim, Perak dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar kenderaan lain di laluan JRTB kira-kira jam 1 pagi.

Dalam kejadian itu, seramai 15 orang disahkan maut termasuk 13 mangsa yang menemui ajal di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Gerik.