Pantai Hospital Ayer Keroh anjur kelas antenatal komprehensif

Iklan
Peserta mempelajari asas mandian bayi daripada jururawat.

SHAH ALAM – Pantai Hospital Ayer Keroh telah menganjurkan kelas antenatal komprehensif sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyokong ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata melalui pendidikan dan panduan daripada pakar.

Pengurus Jualan dan Pemasarannya, Bernadette Choe berkata, program tersebut penting bagi memberikan keyakinan dan pengetahuan yang diperlukan oleh bakal ibu bapa.

Iklan
Iklan

"Kami ingin memberikan keyakinan dan pengetahuan yang diperlukan kepada ibu bapa yang sedang menantikan kelahiran bayi mereka.

"Daripada pemakanan dan perkembangan semasa kehamilan hinggalah persediaan untuk bersalin dan penjagaan bayi yang baru lahir, kelas ini direka untuk menawarkan panduan praktikal dan nasihat daripada pakar,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Iklan

Sesi tersebut turut menampilkan barisan profesional perubatan yang berkongsi kepakaran mereka dalam topik-topik berkaitan pasangan yang sedang menanti kelahiran anak.

Dalam pada itu, menurut Pakar Dietetik, Ho Jia Xin, selain penjagaan bayi, aspek pemakanan yang sihat juga memainkan peranan penting dalam proses perkembangan anak kecil.

Iklan

Beliau turut menjelaskan kepada peserta program tersebut mengenai cara pengurusan berat badan dan simptom yang berkaitan dengan kehamilan.

"Pemakanan yang sihat semasa kehamilan adalah penting untuk ibu dan bayi kerana ia secara langsung menyokong pertumbuhan dan perkembangan bayi,” ujarnya.

Sementara itu, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Nor Idayu Ahmad Ruslan berkata, bakal ibu bapa perlu memahami setiap peringkat kehamilan bagi memastikan mereka bersedia dari segi fizikal dan emosi untuk menyambut kelahiran anak masing-masing.

Tambahnya, peserta juga perlu mengetahui mengenai pilihan bius untuk proses bersalin dan kelahiran, selain menekankan kepentingan vaksinasi awal bagi memastikan kesihatan keseluruhan bayi.

"Setiap kehamilan adalah unik, tetapi memahami peringkat-peringkat kehamilan dan apa yang boleh dijangka sepanjang setiap trimester boleh membantu ibu bersedia dari segi fizikal dan emosi untuk perjalanan yang bakal ditempuh,” jelasnya.

Mengulas lanjut, menurut Pakar Perunding Neonatologi dan Pediatrik, Dr Livia Chow Huey Ling, peserta perlu mengetahui mengenai keselamatan tidur, tanda-tanda bayi lapar, vaksinasi serta kebimbangan biasa ibu bapa terhadap penyakit seperti jaundis.

Beliau turut berkongsi mengenai pencegahan melalui imunisasi awal berbanding rawatan selepas jangkitan.

"Sistem imun bayi memang melindungi mereka daripada jangkitan, tetapi terdapat beberapa penyakit serius yang tidak dapat dilawan oleh tubuh bayi,” ujarnya.

Sementara itu, Pakar Bedah Ginekologi-Onkologi dan Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr Shahzarul Fazril Lin berkata, kelas tersebut turut memberi penekanan terhadap kesedaran mengenai Human Papillomavirus (HPV), selain fokus kepada pencegahan, pengesanan awal dan kesannya terhadap kesihatan wanita.

Ujarnya, vaksin HPV merupakan satu kaedah yang selamat dan berkesan untuk melindungi kesihatan keseluruhan wanita.

"HPV merupakan salah satu jangkitan virus yang paling biasa, dan beberapa jenis daripadanya boleh menyebabkan kanser serviks jika tidak dikesan atau dirawat,” katanya.