KKM nafi Lukanisman terlibat promosi produk penjagaan diabetes

Iklan
Penafian KKM mengenai video didakwa Lukanisman mempromosikan sebuah produk penjagaan diabetes di platform media sosial.

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni tidak terlibat dalam mempromosikan sebuah produk penjagaan diabetes di platform media sosial seperti yang tular ketika ini.

Penafian itu dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi hantaran di laman Facebook rasminya pada Ahad.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

"KKM menafikan sekeras-kerasnya kesahihan video ini, yang disyaki dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang kini mampu menghasilkan video dan kandungan audio-visual lain yang amat realistik.

Iklan

"KKM mengutuk sekeras-kerasnya penggunaan teknologi secara tidak beretika seperti ini kerana penggunaan sebarang produk kesihatan secara salah berisiko memudaratkan pesakit dan boleh membawa maut. Pihak yang dikesan berbuat sedemikian akan dikenakan tindakan perundangan semasa," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular video memaparkan individu mirip Lukanisman yang juga Ahli Parlimen Sibuti mempromosikan produk penjagaan diabetes di sebuah platform media sosial.

Iklan

KKM dalam masa sama turut menasihatkan orang ramai agar menggunakan produk kesihatan yang berdaftar serta tidak membeli sebarang produk daripada penjual atau vendor tidak bertauliah terutamanya melalui platform dalam talian.

Jelas kementerian itu lagi, pengguna terkesan juga digesa supaya hanya menggunakan sebarang produk kesihatan diiktiraf sekiranya telah membuat konsultasi dan mendapat panduan daripada pengamal perubatan yang bertauliah.

"KKM juga menyeru agar masyarakat tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan kenyataan yang tidak diketahui kesahihannya. KKM ingin menegaskan kepada para pengusaha atau pemilik produk untuk lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan serta mengelirukan orang ramai," katanya.