SHAH ALAM - Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza melahirkan rasa kecewa terhadap dakwaan kegagalan kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tanggungjawab berhubung insiden yang menyebabkan beliau tidak dibenarkan ke luar negara pada Sabtu.
Menurut Fahmi, walaupun kenyataan rasmi menyatakan bahawa tiada sebarang sekatan perjalanan dikenakan terhadapnya, beliau tetap dihalang di pintu keluar negara, satu tindakan yang disifatkan sebagai pencabulan terhadap hak kebebasan bergerak seorang rakyat Malaysia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini menjelaskan bahawa Fahmi tidak dikenakan sebarang sekatan perjalanan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun mana-mana agensi penguat kuasa lain.
Razarudin berkata, semakan ke atas nama Fahmi mendapati tiada arahan sekatan dikeluarkan terhadapnya.
Susulan dakwaan sekatan itu tular di media sosial, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay untuk menyemak semula perkara tersebut.
Tindakan itu penting bagi membolehkan Pejabat Perdana Menteri mendapatkan penjelasan penuh daripada pihak berkuasa mengenai situasi sebenar yang berlaku.
"Aku tak nampak mana-mana pihak kerajaan yang berani ambil tanggungjawab atas kesilapan yang menyebabkan hak kebebasan bergerak aku disekat," kata Fahmi dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau turut mempersoalkan sikap kerajaan yang didakwanya enggan mengakui kesilapan, walaupun beliau telah mengalami kesulitan dan kerugian akibat insiden tersebut.
"Kalau rakyat buat salah, korang tak tunggu lama untuk heret kami ke mahkamah.
"Kali ini, giliran rakyat pula untuk heret pihak berkuasa ke mahkamah," tambahnya.
Fahmi turut menegaskan bahawa kerajaan dan pihak berkuasa tidak kebal daripada tindakan undang-undang serta menyeru rakyat agar tidak takut untuk menuntut keadilan.
"Rakyat tak patut takut pada kerajaan, kerajaan yang patut takut pada rakyat," katanya lagi.
Mengakhiri kenyataannya, Fahmi menyatakan kesediaannya untuk mengambil tindakan undang-undang sebagai langkah menuntut haknya, selari dengan saranan supaya menggunakan 'saluran yang betul'.