Lubang besar di laluan jambatan Sungai Galing perlu tindakan segera

Iklan
Chon Siang melihat lubang besar yang muncul di laluan jambatan Sungai Galing, Jalan Beserah pada Ahad.

KUANTAN – Struktur Jambatan Sungai Galing di Jalan Beserah disahkan masih kukuh dan selamat digunakan, namun tindakan segera perlu diambil bagi menangani mendapan akibat hakisan yang menyebabkan kemunculan lubang besar di laluan tersebut.

Exco Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Sim Chon Siang berkata, kerja-kerja tampalan yang dilakukan sebelum ini menggunakan bahan premix sejuk yang mudah kering tidak menyelesaikan masalah kerana tanah di bawah jalan masih kosong.

Iklan
Iklan

"Lubang besar terjadi di laluan ini disebabkan tanah di bawah jambatan terhakis oleh aliran Sungai Galing. Kalau hendak selesaikan sepenuhnya, kawasan tanah yang kosong itu perlu diisi semula, bukan sekadar ditampal.

Tanah yang kosong di bawah jambatan akibat hakisan menyebabkan berlaku mendapan dan lubang besar di laluan itu.

"Struktur jambatan masih kukuh, jadi tidak perlu bina jambatan baharu, cuma tindakan segera perlu diambil supaya pengguna jalan selamat,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau keadaan mendapan tanah di sekitar Jambatan Sungai Galing, Jalan Beserah, di sini, pada Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum itu turut menjelaskan bahawa kawasan berkenaan merupakan laluan utama penduduk dari bandar Kuantan ke Berserah dan ia perlu dipastikan sentiasa selamat.

Iklan

"Saya mohon JKR (Jabatan Kerja Raya) segera bertindak sebelum hakisan ini menjadi lebih teruk sekiranya berlaku hujan lebat,” katanya.

Selain itu, beliau turut meminta JKR memasang lampu amaran kerana kawasan tersebut gelap pada waktu malam dan boleh mengundang bahaya.

"Saya datang malam semalam (Sabtu) tetapi kawasan ini sangat gelap sehingga sukar untuk melihat keadaan sebenar.

Chon Siang melihat keadaan hakisan tanah secara lebih dekat sehingga menyebabkan muncul lubang besar di laluan tersebut.

"Hari ini kita lihat dengan jelas bahawa memang berlaku hakisan tanah. Jadi, saya mohon JKR memasang lampu amaran segera demi keselamatan penduduk,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menggesa pihak berkuasa memeriksa keseluruhan struktur jambatan dan kawasan sekitarnya bagi mengelakkan sebarang risiko lain yang boleh mengancam keselamatan orang awam.

"Tempat ini perlu diperiksa di kedua-dua belah kerana risiko hakisan boleh berulang. Saya mohon JKR ambil tindakan segera,” katanya.