Kerbau korban ‘naik minyak’, tiga cedera ringan kena tanduk

Iklan
Tangkap layar video tular menunjukkan seekor kerbau untuk dijadikan ibadah korban bertindak agresif sewaktu hendak ditumbangkan.

BATU GAJAH - Suasana di Surau Tajul Ulum, Kampung Batu 3, Jalan Tanjung Tualang, di sini, bertukar cemas apabila seekor kerbau korban bertindak agresif dan menanduk tiga pemuda kampung.

Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 10.30 pagi Sabtu, tiga pemuda kampung yang bertugas mengendalikan haiwan korban itu mengalami kecederaan ringan.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Air Mati, Zailan Mohamed @ Md Rawi berkata, kejadian berlaku ketika pihak surau sedang melaksanakan penyembelihan haiwan kelima sebelum kerbau tersebut bertindak agresif sewaktu hendak ditumbangkan.

"Kerbau terakhir menunjukkan tanda-tanda agresif, mungkin sebab dia sendiri nampak empat haiwan korban lain sudah disembelih sebelum itu.

Iklan

"Kebetulan pula salah seorang daripada pemuda yang menguruskan haiwan korban, tersangkut kaki pada tali pengikat, bila yang lain cuba bantu, mereka pula terkena tandukan kerbau tersebut," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Zailan memaklumkan ketiga-tiga mangsa berusia lingkungan 20-an hanya mengalami kecederaan ringan seperti calar di bahagian dada dan luka kecil di tangan.

Iklan

"Mereka semua dalam keadaan baik dan tidak dihantar ke hospital seperti yang ditularkan. Pihak yang kata dapat rawatan itu tak betul, semua masih sihat dan meneruskan tugas hingga kerja korban selesai sepenuhnya,” katanya.

Tambah beliau, kekecohan itu hanya berlangsung kira-kira 15 minit sebelum kerbau berkenaan berjaya ditumbangkan.

"Kami memang ada pasukan tetap yang bantu setiap tahun dari kerja sembelih, melapah, menimbang, sampai ke pengagihan daging. Budak-budak muda kampung yang turun padang ini memang cekap, tapi kali ini mungkin sebab lima ekor (kerbau), jadi tenaga pun makin susut," ujarnya.

Zailan turut menjelaskan, insiden seumpama itu tidak pernah berlaku sebelum ini sepanjang mereka melaksanakan ibadah korban di kampung tersebut.

"Kebiasaannya, kita sembelih tiga ekor sahaja. Tahun ini rezeki lebih, jadi lima ekor kerbau. Ini kali pertama jadi macam ini dan kami pun ambil iktibar," katanya.

Sementara itu, video insiden berkenaan tular di media sosial sejak semalam mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai, termasuk dakwaan kononnya ada individu cedera dan dihantar ke hospital.