SHAH ALAM – DAP mendesak Jabatan Peguam Negara supaya menyemak semula keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) dalam kes Teoh Beng Hock, sekali gus menuntut penjelasan mengapa tiada pendakwaan dilakukan selepas 15 tahun.
Dalam kenyataan bersama, Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa Jabatan Peguam Negara perlu menyemak semula keputusan untuk mengklasifikasikan siasatan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) walaupun terdapat perkembangan kes di Mahkamah Rayuan dan prosiding sivil di Mahkamah Tinggi.
Iklan
Iklan
"Peguam Negara dan tiada orang lain mempunyai budi bicara untuk mendakwa di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Beliau perlu menjelaskan mengapa budi bicara itu tidak digunakan dalam kes ini,” ujar mereka pada Ahad.
Desakan DAP itu dibuat susulan surat bertarikh 30 Mei daripada Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar kepada peguam keluarga Beng Hock, Ramkarpal Singh yang menyatakan tiada bukti mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu atas kematian mendiang.
Beng Hock yang merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, meninggal dunia pada 16 Julai 2009 selepas ditemui terjatuh dari tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam ketika disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Justeru, DAP menyeru supaya tindakan diambil segera bagi memastikan keadilan buat keluarga Teoh dan rakyat Malaysia.