Jawatankuasa Khas Bersama MTUC dakwa KESUMA kelirukan rakyat, sabotaj suara pekerja di Geneva

Iklan
J Solomon

SHAH ALAM – Jawatankuasa Khas Bersama (JKB) Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengelirukan orang ramai berhubung status kepimpinan semasa MTUC.

Berikutan itu, Pengerusi jawatankuasa itu, J Solomon menegaskan kementerian berkenaan wajib mengambil tanggungjawab di atas kegagalan Malaysia menghantar wakil pekerja ke Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 (ILC) di Geneva, Switzerland.

Iklan
Iklan

Jelasnya, kenyataan KESUMA yang mendakwa MTUC tidak mempunyai kepimpinan sah adalah tidak berasas kerana pertubuhan itu kini diterajui secara sah oleh jawatankuasa khas yang dilantik selepas krisis pentadbiran tahun lalu.

"Fakta bahawa pilihan raya MTUC akan diadakan pada 2 dan 3 Ogos 2025 membuktikan struktur kepimpinan berjalan baik dan teratur.

Iklan

"Jadi kenyataan bahawa MTUC tidak mempunyai barisan kepimpinan adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Solomon turut membidas tindakan KESUMA yang didakwa gagal memastikan kehadiran wakil pekerja dalam ILC, sedangkan Malaysia telah disenarai pendek untuk perbincangan berkenaan pematuhan Konvensyen 98 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang menyentuh isu kebebasan berpersatuan dan hak berunding bersama.

Iklan

Terdahulu, KESUMA dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat menghantar wakil pekerja ke Geneva kerana kepimpinan MTUC yang ada ketika ini didakwa tidak sah dari sudut perlembagaan pertubuhan dan undang-undang.

KESUMA turut menyatakan bahawa mereka menerima nasihat perundangan bahawa keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Khas Bersama tidak mempunyai legitimasi penuh dan boleh dipertikai di peringkat antarabangsa.

Namun Solomon menolak alasan tersebut dan menyifatkan tindakan kementerian itu sebagai usaha terancang untuk menafikan perwakilan pekerja Malaysia di pentas global serta menutup kelemahan sendiri.

"Kalau Menteri (Steven Sim) benar-benar jujur mahu pastikan pekerja diwakili, beliau sepatutnya menghubungi dan berbincang dengan Jawatankuasa Khas Bersama sebaik sahaja menerima jemputan ILO, bukan selepas semuanya terlambat,” katanya lagi.

Dalam kenyataan sama, Solomon turut mendakwa KESUMA telah menyalahgunakan jentera kerajaan termasuk Jabatan Peguam Negara untuk menutup tindakan-tindakan yang bercanggah dengan prinsip ILO.

"Ini bukan sahaja sabotaj terhadap suara pekerja, malah menjejaskan nama baik negara dan memperlihatkan kegagalan kementerian memahami tanggungjawabnya dalam kerangka buruh antarabangsa,” tegas beliau.

Tambahnya, tindakan tidak menghantar wakil pekerja memberi kesan besar kerana Malaysia kini berdepan penelitian di Geneva berhubung laporan pelanggaran Konvensyen 98, termasuk dakwaan diskriminasi terhadap kesatuan dan kelemahan dalam pelaksanaan undang-undang buruh.

Solomon menggesa semua pihak termasuk Majlis Peguam, ahli Parlimen dan pertubuhan masyarakat sivil agar mengambil serius isu ini demi mempertahankan maruah pekerja dan kedaulatan buruh negara.