PARIT - Tanah Perkuburan Islam Kampung Selat, Bota Kanan, di sini pada Ahad diselubungi suasana pilu apabila lima van jenazah memasuki pekarangan membawa lima sekeluarga yang maut dalam nahas di Jerantut, Pahang.
Deretan van jenazah membawa Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, dan suami, Mohamad Ikmal Ishak, 26, serta tiga adiknya, Mohammad Zulkifli, 21; Mohamad Azizul Hakimi, 19, dan Nurul Hazwani, 17, tiba di pagar utama tanah perkuburan pada jam 1.07 pagi.
Jenazah selesai dikebumikan jam 1.45 pagi dalam satu liang lahad atas permintaan keluarga dengan dihadiri lebih 300 orang kalangan ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat.
Terdahulu, semua jenazah yang selesai menjalani bedah siasat di Unit Forensik Hospital Jerantut, Pahang itu disolatkan di Masjid Jamek Bota Kanan.
Tangisan pilu memecah hening pagi di ruangan solat masjid apabila ibu mangsa, Zaini Noh tidak dapat menahan kesedihan menatap kali terakhir wajah-wajah insan kesayangan.
Dalam nahas di Kilometer 7 Jalan Jerantut Feri-Maran sekitar jam 12.40 malam itu, kesemua mereka yang menaiki kereta jenis Perodua Bezza maut di tempat kejadian selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard.
Semasa kejadian, mereka dalam perjalanan dari Tambun untuk menyambut Aidiladha di kediaman bapa saudara di Kampung Paya Gunung iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi nahas.
Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah ketika ditemui pemberita berkata, kerajaan negeri sedang meneliti bentuk bantuan termasuk kaunseling terhadap waris mangsa.
Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) juga telah diarahkan bagi memudahcara penyaluran tuntutan insuran RM5,500 ke atas Allahyarham Nurul Hazwani selaku pelajar Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Abdul Rahman Yaacob, di sini.
"Sesi kaunseling menumpukan kepada adik bongsu mangsa agar emosinya tidak terganggu hingga boleh menjejaskan pembelajaran di sekolah.
"Tindakan awal lain yang mungkin kita laksanakan bagi keluarga adalah seperti meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat pantau dan memberi bimbingan serta nasihat kepada ibu bapa mangsa supaya mereka boleh menerima takdir ini," katanya.