Nenek hilang dua cucu akibat bedilan misil nekad saman Israel

Iklan
Sejak lebih dua tahun lalu, Zionis sememangnya menyasarkan kawasan kediaman orang awam di Gaza di bawah pelan jahat untuk menghapuskan penduduk Palestin. Foto Agensi

PARIS - Seorang wanita Perancis nekad memfailkan tuntutan undang-undang terhadap Israel berhubung perang genosid yang dilancarkan ke atas Genting Gaza sehingga meragut nyawa dua cucunya.

Jacqueline Rivault mengemukakan saman tersebut di bawah Seksyen Jenayah Kemanusiaan di Mahkamah Paris.

Iklan
Iklan

Menurut peguamnya, Arie Alimi, pada Jumaat lalu, tuntutan itu menyatakan bahawa bedilan misil oleh dua jet F-16 milik tentera Israel telah membunuh dua cucunya di utara Gaza dalam kejadian pada 24 Oktober 2023.

Dokumen setebal 48 muka surat itu mendedahkan bahawa kedua-dua mangsa, Janna, 6, dan Abderrahim Abudaher, 9, bersama keluarga mereka sedang berlindung di sebuah rumah yang terletak antara Faluja dan Beit Lahia selepas berpindah dari kediaman asal susulan kempen pengeboman yang semakin sengit.

Iklan

"Salah satu misil mengenai bumbung rumah itu, manakala yang kedua menyasarkan bilik tempat keluarga tersebut menginap. Abderrahim meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala adiknya menghembuskan nafas terakhir di hospital,” jelas kandungan dokumen tersebut lagi.

Rivault berharap badan kehakiman Perancis akan memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat aduan tersebut berdasarkan status kewarganegaraan kedua-dua cucunya.

Iklan

Difahamkan, saman itu secara rasmi difailkan terhadap pihak tidak dinamakan, namun terdapat beberapa laporan menyatakan bahawa ia secara jelas menyasarkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Kabinet Perang pimpinannya dan tentera Zionis. - Agensi