Insiden bot terbalik: Suami, isteri dipercayai hilang ketika bot ditarik

Iklan
Kerja-kerja mengapungkan bot berjaya dijalankan dan akan dibawa ke pangkalan Polis Marin Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut. Foto Bernama

PELABUHAN KLANG - Sepasang suami isteri yang menjadi mangsa dalam insiden bot terbalik di perairan Tanjung Harapan di sini dipercayai hilang ketika bot berkenaan ditarik dari lokasi kejadian pada Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Timbalan Penguasa Bomba Haikal Jammy Ngali berkata, pihaknya mendapati bot yang terlibat dalam insiden itu telah ditunda oleh sebuah bot lain selepas kejadian.

Iklan
Iklan

"Bot yang menarik bot tersebut ialah bot awam disebabkan kawasan itu merupakan laluan kapal besar. Sebab itu bot perlu ditarik ke tempat lain.

"Jadi, kita tahu lokasi tempat kejadian sekarang sudah berubah, dari sana ke sini, maka kawasan pencarian menjadi lebih luas,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi operasi mencari dan menyelamat di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, semakan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 4 petang, manakala pihak bomba dihubungi kira-kira jam 5 petang.

"Pihak bomba yang tiba di lokasi mendapati bot berkenaan telah dibawa ke jeti Maritim Malaysia. Aktiviti selaman dan kerja mengapungkan bot dijalankan, namun tidak menemui dua mangsa yang hilang.

Iklan

"Kita tidak menolak kemungkinan kedua-dua mangsa itu terkeluar ketika bot terbabit ditarik dari lokasi kejadian iaitu kira-kira 0.3 batu nautika barat Tanjung Harapan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, setakat ini tiada penemuan melibatkan pasangan suami isteri itu meskipun radius pencarian seluas lima batu nautika.

"Kerja-kerja mengapungkan bot ini telah berjaya dijalankan dan kita akan bawa ke pangkalan Polis Marin Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut," katanya.