Pelajar antarabangsa teruja sertai ibadah korban bersama ATM, penduduk

Iklan
Sebahagian daripada pelajar antarabangsa teruja menyertai ibadah korban di Masjid Al-Ansar di Teluk Ketapang, Kuala Nerus pada Sabtu.

KUALA NERUS - Seramai 60 pelajar antarabangsa dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) teruja apabila berpeluang menyertai ibadah korban bersama anggota tentera dan komuniti Kampung Teluk Ketapang sempena Aidiladha, di sini pada Sabtu.

Program anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teluk Ketapang yang turut disertai Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) itu menyaksikan pelajar dari pelbagai negara bergotong-royong bersama penduduk dan anggota Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) Kem Sri Pantai.

Iklan
Iklan

Turut menjayakan program korban melibatkan 10 ekor lembu itu ialah Homestay Teluk Ketapang dan Masjid Al-Ansar, dengan lebih 300 peserta termasuk ahli Kawat dan komuniti setempat.

Presiden Persatuan Pelajar Antarabangsa UniSZA, Iram Shehzadu Sabir, 37, dari Pakistan berkata, beliau amat teruja kerana dapat merasai kelainan sambutan Aidiladha di Malaysia yang penuh semangat kebersamaan.

Iklan

"Ini tahun ketiga saya menyambut Aidiladha di sini. Apa yang membezakan sambutan di Malaysia ialah penglibatan pelbagai pihak termasuk tentera dan penduduk kampung.

"Saya rasa sangat istimewa apabila pelajar dari pelbagai negara dan budaya dapat duduk semeja, bekerjasama dalam ibadah yang mulia ini,” katanya.

Iklan

Seorang lagi pelajar antarabangsa, Zainab Muhammad, 29, dari Nigeria berkata, penyertaan dalam program korban tersebut memberi pengalaman baharu yang sukar dilupakan.

"Ini adalah Aidiladha kedua saya di Malaysia. Saya rasa sangat diterima dan dihargai. Wanita turut terlibat dalam penyediaan makanan, suasananya juga seperti di kampung halaman,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kawat, Ahmad Safri Husnaini Mohamad berkata, pihaknya berbesar hati menyertai masyarakat pelbagai latar belakang untuk bersama-sama mengimarahkan syiar Islam.

"Penyertaan pelajar antarabangsa memeriahkan lagi sambutan. Ini juga membuka ruang untuk mereka lebih memahami budaya serta nilai masyarakat Malaysia," katanya.

Sebahagian daging korban diagihkan kepada golongan asnaf sekitar Kuala Nerus manakala selebihnya dimasak untuk dinikmati bersama dalam bentuk hidangan.