Rayuan SIS Forum cabar fatwa 19 Jun ini

Iklan
Keputusan rayuan SIS Forum (Malaysia) untuk mencabar fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Selangor, yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, akan diketahui pada 19 Jun ini. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keputusan rayuan SIS Forum (Malaysia) untuk mencabar fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Selangor, yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, akan diketahui pada 19 Jun ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan
Iklan

"Tarikh keputusan itu diberikan kepada pihak-pihak menerusi e-mel oleh Mahkamah Persekutuan pada 20 Mei lalu," katanya.

Selain Jawatankuasa Fatwa, turut dinamakan sebagai responden dalam rayuan itu ialah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor.

Iklan

Pada 21 Ogos 2023, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar, untuk meneruskan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada tahun sama yang menolak rayuan SIS Forum untuk membatalkan fatwa tersebut.

Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa fatwa yang disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bukanlah satu keputusan muktamad dan oleh itu tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.

Iklan

SIS Forum dan Zainah merayu kepada Mahkamah Rayuan selepas mereka tidak berjaya dalam usaha di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan fatwa berkenaan. Permohonan semakan kehakiman mereka telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2019.

Fatwa itu, yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014, mengisytiharkan bahawa SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa tersebut juga mengarahkan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural hendaklah diharamkan serta dirampas. Ia turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menapis laman sesawang sosial yang bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak. - Bernama