SHAH ALAM - Kegiatan licik seorang lelaki yang menjadi dalang sindiket pengedaran dadah dengan berselindung di sebalik pekerjaan sebagai pemandu e-hailing terbongkar apabila diberkas dalam satu operasi khas di sekitar Lembah Klang pada Selasa.
Dalang terbabit dipercayai terlibat dalam sindiket Geng Alstonia termasuk di beberapa pusat hiburan serta individu perseorangan yang dipercayai aktif sejak lapan bulan lalu di sekitar Lembah Klang.
Suspek berusia 30-an itu ditahan bersama lapan individu lain dalam siri serbuan bermula jam 6 petang sehingga 11.30 malam menerusi operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket turut dipercayai menjadikan rumah serta premis sewa di beberapa lokasi serbuan sebagai stor penyimpanan dadah.
"Siasatan mendapati dalang utama sindiket ini bekerja sebagai pemandu e-hailing, namun pada masa sama berperanan sebagai pengedar utama dadah.
"Siasatan mendapati sindiket menggunakan pelbagai cara untuk mengelak dikesan termasuk menyembunyikan dadah dalam bentuk minuman jus dan perisa vape," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Jumaat.
Katanya, operasi terbabit turut menahan enam lagi lelaki tempatan lain, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 24 hingga 36 tahun.
"Ujian air kencing mendapati enam daripada mereka positif dadah manakala tiga lagi negatif serta semakan mendapati tiga daripada sembilan suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
"Selain pemandu e-hailing, antara suspek diberkas didapati bekerja sebagai penjaja makanan, tukang gunting rambut, personal shopper dan dua tidak bekerja," katanya.
Menurutnya, dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM5.1 juta yang dianggarkan mampu dibekalkan kepada lebih 43,000 penagih.
"Rampasan termasuk serbuk MDMA seberat 26 kilogram, ketamin (4.7 kilogram), serbuk dan pil ekstasi, cecair dadah, serta cartridge vape yang mengandungi bahan terlarang.
"Turut disita lima kenderaan mewah pelbagai jenama, jongkong emas, barangan kemas, jam dan beg tangan berjenama serta wang tunai pelbagai mata wang dengan jumlah keseluruhan sitaan harta bernilai RM341,000,” katanya.
Hussein berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Polis kini sedang giat mengesan saki-baki individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ini.
"Siasatan masih dijalankan berkaitan sumber bekalan dadah diperoleh sindiket ini," katanya.