KULAI – Polis menahan seorang lelaki warga China susulan insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah premis perniagaan di Taman Eko Perniagaan 2, Senai Airport City.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arshad berkata, sebelum itu pihaknya mengesan video yang tular memaparkan insiden itu pada kira-kira jam 4 petang Ahad.
"Hasil siasatan awal oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 38 tahun pada hari sama.
“Polis turut merampas satu helai Jalur Gemilang yang dipasang di premis terbabit bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing didapati negatif.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Pindaan 2017).
"Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/1963.
“Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah telah dibenarkan Mahkamah Majistret Kulai selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Januari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan kenyataan berbaur provokasi berkaitan isu berkenaan melalui mana-mana platform media sosial.
Tegasnya, Polis Johor komited dalam melindungi kedaulatan serta keamanan negara dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
"Sebarang maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang boleh disalurkan ke Hotline Polis Johor di talian 019-279 2095 atau Bilik Gerakan 07-221 2999," katanya.