JERTIH - Dua wanita di Besut masing-masing kerugian RM47,000 dan RM42,811 selepas menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, pihaknya menerima laporan pertama pada Selasa lepas daripada seorang peniaga berusia 34 tahun yang kerugian RM47,000 apabila menjadi mangsa ‘love scam’ melalui satu aplikasi.
"Mangsa menyatakan dia berkenalan dengan seorang lelaki pada 21 Januari lepas melalui aplikasi itu.
"Lelaki itu kemudian meminta wang daripada mangsa secara berperingkat menerusi pelbagai helah, menyebabkan mangsa terpedaya lalu melakukan 43 transaksi wang ke tiga akaun bank diberi suspek sepanjang enam bulan perkenalan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Azamuddin berkata, kes kedua membabitkan seorang pembantu am di sebuah pusat latihan yang membuat laporan polis semalam dengan mendakwa menjadi mangsa"phone scam” menerusi WhatsApp.
Beliau berkata, wanita berusia 55 tahun itu kerugian RM42,811 akibat terperdaya selepas menerima pesanan WhatsApp daripada seorang individu yang mendakwa dia adalah wakil syarikat penghantaran di lapangan terbang.
"Individu terbabit (suspek) mengatakan ada barangan di pos oleh seorang individu atas nama mangsa.
"Suspek telah meminta wang daripada mangsa secara berperingkat dan mengugut untuk memberikan nama mangsa kepada pihak polis untuk siasatan kerana barangan terbabit mengandungi bahan terlarang,” katanya.
Mangsa yang ketakutan, katanya telah melakukan 18 transaksi ke satu akaun bank diberikan suspek dan kedua-dua kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama