BEAUFORT – Penduduk di Kampung Jempangah, di sini, yang terpaksa diusir keluar dari tempat tinggal mereka sejak puluhan tahun lalu, bakal ditempatkan di sebuah kawasan yang akan digazetkan sebagai perkampungan baharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Datuk Isnin Aliasnih, berkata tanah seluas kira-kira 3.2 hektar akan diwartakan sebagai kawasan penempatan baharu bagi penduduk Kampung Jempangah yang membuat permohonan.
"Kita gazetkan tanah seluas lapan ekar di Kampung Batu 60, tidak jauh dari kampung asal untuk menempatkan mereka yang memohon.
"Kawasan ini terletak di tepi jalan, 12 minit dari pekan dan bukan kawasan mudah dinaiki air banjir,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Bagaimanapun, Isnin yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah menjelaskan, penempatan itu hanya diberikan kepada pemohon dalam kalangan penduduk asal daerah tersebut.
"Borang akan diberikan kepada pemohon dan mereka yang memohon mestilah penduduk yang tidak mempunyai tanah serta berasal dari daerah ini, iaitu penduduk asal kampung berkenaan.
"Penempatan ini dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disediakan kerana tanah perlu dibersihkan terlebih dahulu, dan kerja-kerja menyukat lot turut dilakukan sebelum mereka diberikan kawasan masing-masing.
"Kos pembersihan akan saya tanggung sendiri sebagai wakil rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan diharap dengan usaha ini dapat meringankan beban semua pihak yang terlibat,” katanya.
Isnin dalam satu perkongsian di Facebook turut memaklumkan bahawa beliau bersama Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Sr Bernard Liew Chau Min, telah turun padang bagi meninjau kawasan yang dicadangkan untuk diwartakan sebagai penempatan baharu itu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kira-kira 200 penduduk Kampung Jempangah berdepan tindakan pengusiran daripada tanah yang didiami sejak hampir 80 tahun lalu selepas kawasan tersebut disahkan sebagai milik individu lain.
Difahamkan, sebanyak 53 rumah terlibat dalam arahan pengosongan yang membabitkan kawasan seluas kira-kira empat hektar, menerusi notis mahkamah yang diterima pada 7 Mei lalu.
Pada 21 Mei, kerja perobohan struktur rumah yang dijalankan mengikut perintah mahkamah terpaksa ditangguhkan selama empat hari bagi memberi ruang kepada penduduk mengosongkan kawasan tersebut.