Wukuf simbol penghambaan sejati kepada ALLAH

Iklan
IBADAH wukuf pada hakikatnya adalah medan untuk membentuk umat yang peduli, bukan umat yang hidup dalam gelembung kepentingan sendiri. -Foto: CANVA/ Gambar kecil: DR MOHD SHAFIQ SAHIMI

Sebesar mana pun kuasa dimiliki, ibadah itu mengingatkan bahawa kita tetap hamba kepada Sang Pencipta

BULAN Zulhijah kembali menyapa umat Islam dengan panggilan agung dari Tanah Suci.

Di tengah jarak ribuan kilometer dari tanah air, padang Arafah menjadi saksi jutaan manusia berhimpun, berdiri di bawah terik mentari sambil mengangkat tangan penuh pengharapan kepada Tuhan YANG MAHA ESA.

Iklan
Iklan

Namun, di sebalik ritual ibadah itu, tersembunyi mesej besar buat seluruh umat Islam iaitu tentang kesatuan, penghambaan dan tanggungjawab terhadap ummah.

Bayangkan ketika itu semua umat Islam berkumpul tanpa mengira warna kulit, bangsa mahupun status sosial masing-masing. Saat itulah kita menyaksikan jutaan umat sama ada dari Afrika, Eropah, Asia Tenggara mahupun Timur Tengah, semuanya hadir dengan satu pakaian seragam iaitu ihram.

Iklan

DI padang Arafah, tiada siapa bergelar orang kenamaan (VIP), sebaliknya semuanya tunduk dan memohon belas kasihan daripada Sang Pencipta. -Foto: REUTERS

Di sinilah wukuf menjadi simbol kesatuan umat dalam kepelbagaian. Dalam dunia yang sering disogokkan dengan fahaman perkauman, nasionalisme sempit dan konflik mazhab, Arafah menyeru umat Islam untuk kembali kepada satu kalimah ‘Laa ilaaha illallah’ sebagai asas perpaduan.

Iklan

Umpama mesyuarat agung tahunan umat Islam

Sesungguhnya, wukuf bukan sekadar ibadah fizikal, tetapi ia merupakan manifestasi kepada mesyuarat agung tahunan bagi umat Islam.

Masakan tidak, di sinilah umat bertemu sama ada secara langsung atau simbolik untuk berbincang, bertukar pandangan dan menyusun agenda kebangkitan umat.

Khutbah wida’ Rasulullah SAW yang disampaikan di Arafah menjadi contoh jelas bahawa Arafah ialah medan pernyataan prinsip umat tentang hak asasi, keadilan, kesaksamaan dan tanggungjawab bersama.

WALAUPUN wukuf di Arafah secara zahirnya hanya dilalui oleh jemaah haji yang berada di Tanah Suci, tetapi ia sebenarnya menjadi seruan rohani kepada seluruh umat Islam di mana sahaja mereka berada kerana ibadah itu menyeru agar kita bersatu dalam kepelbagaian, membina jaringan ukhuwah, kembali tunduk kepada ALLAH dan peduli terhadap nasib umat. -Foto: CANVA

Hari ini, umat Islam seharusnya menjadikan Arafah sebagai simbolik medan perbincangan tahunan mengenai nasib saudara-saudara seagama dari Gaza ke Sudan dan dari Rohingya ke Uyghur.

Di samping itu, ibadah wukuf sebenarnya mengajar dan mengingatkan kita bahawa sebesar mana pun kuasa yang dimiliki atau secanggih mana teknologi dicipta, kita tetap hamba kepada ALLAH SWT.

Itulah mesej penting kepada dunia moden yang semakin ghairah menjadikan manusia sebagai ‘tuhan kecil’ dalam menentukan undang-undang sendiri dan melakar hala tuju hidup tanpa panduan wahyu.

Tunduk kepada ALLAH

Seperkara lagi, Arafah menyeru manusia agar kembali tunduk kepada syariat dan menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai rujukan dalam setiap inci kehidupan kita daripada sekecil-kecil keputusan peribadi sehinggalah sebesar-besar polisi negara.

Sedar atau tidak, wukuf pada hakikatnya adalah medan untuk membentuk umat yang peduli, bukan umat yang hidup dalam gelembung kepentingan sendiri.

Dalam dunia yang dilanda budaya nafsi-nafsi (mementingkan diri sendiri) iaitu hanya memikirkan perut, rumah dan akaun sendiri, wukuf menyeru kepada nilai empati, solidariti dan kepedulian.

IBADAH wukuf sebenarnya mengajar dan mengingatkan kita bahawa sebesar mana pun kuasa yang dimiliki atau secanggih mana teknologi dicipta, kita tetap hamba kepada ALLAH SWT. -Foto: CANVA

Nabi Muhammad SAW mengingatkan: "Barang siapa yang tidak mengambil berat urusan umat Islam, maka dia bukan daripada kalangan mereka.” (Hadis Riwayat Al-Hakim)

Sifat keprihatinan itu harus disuburkan semula dalam masyarakat agar umat menjadi satu tubuh. Jika satu anggota sakit, seluruh tubuh turut merasainya.

Walaupun wukuf di Arafah secara zahirnya hanya dilalui oleh jemaah haji yang berada di Tanah Suci, ia bukan semata-mata untuk mereka sahaja.

Dalam suasana dunia yang semakin mencabar dan umat Islam terus ditekan banyak penjuru, marilah kita menjadikan Arafah sebagai lambang kebangkitan, bukan sekadar nostalgia spiritual tahunan.

*Artikel ditulis oleh Dr Mohd Shafiq Sahimi, Pensyarah Kanan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia