MAKKAH - Lautan jemaah memanjatkan doa dan bermunajat di puncak Jabal Rahmah ketika kemuncak ibadah haji pada Khamis, di tengah-tengah cabaran cuaca ekstrem yang mencecah sehingga 41 darjah Celsius.
Sebahagian daripada jemaah tiba sejak awal pagi kerana keadaan suhu lebih sejuk sambil membawa payung masing-masing seperti disarankan pihak berkuasa Arab Saudi.
Selepas matahari terbenam, lebih 1.8 juta jemaah haji dari seluruh dunia itu akan menuju ke Muzdalifah yang terletak antara Arafah dan bandar khemah Mina di mana mereka akan mengumpulkan batu kecil untuk ibadah melontar ketiga-tiga jamrah.
"Ini adalah sesuatu yang saya biasa lihat di kaca TV ketika musim haji dan pernah menyimpan impian untuk berada di sini. Saya rasa amat bersyukur kerana doa saya dimakbulkan ALLAH SWT selepas tiga tahun," kata Ali, 33, dari Pakistan.
Pada awal minggu lalu, pihak berkuasa Saudi menasihatkan para jemaah supaya kekal berada di dalam khemah masing-masing antara jam 10 pagi dan 4 petang (waktu tempatan) ketika sinaran matahari amat terik.
Pelbagai langkah telah diambil untuk mengurangkan bahang bagi mengelakkan kejadian pada musim haji tahun lalu daripada berulang yang menyaksikan kira-kira 1,301 jemaah meninggal dunia ketika suhu mencecah 51.8 darjah Celsius.
"Saya datang ke Arafah lebih awal kerana mahu mengelakkan sinar matahari dan akan menyambung beribadah di dalam khemah," ujar Adel Ismail, 54, dari Syria.
Bagi memastikan keselamatan dan keselamatan para jemaah, Saudi telah mengembangkan infrastruktur, mengerahkan ribuan anggota tambahan dan bergantung kepada penggunaan alatan dilengkapi teknologi canggih bagi menguruskan lautan jemaah.
Selain itu, lebih 40 agensi kerajaan bersama 250,000 anggota digerakkan untuk mengawasi sebarang insiden berkaitan strok haba.
Kawasan teduh juga diperluaskan kepada 50,000 meter persegi, ribuan kakitangan perubatan diletakkan dalam keadaan siap siaga dan penggunaan lebih 400 unit penyejuk. - AFP