Harga tak masuk akal, telur dadar RM52 di pasar terapung Thailand

Iklan
Perkongsian harga makanan yang tidak masuk akal oleh pelanggan itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.- Foto Agensi

RATCHABURI – Pihak berkuasa Thailand menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah restoran di Pasar Terapung Damnoen Saduak selepas aduan seorang pelancong mengenai harga makanan yang melampau, tular di media sosial termasuk telur dadar kosong berharga 400 baht (RM52) dan nasi goreng bersaiz besar mencecah 1,400 baht (RM182).

Aduan tersebut dikongsi secara meluas di Facebook, menceritakan pengalaman sebuah keluarga yang berkunjung ke destinasi pelancongan popular di wilayah Ratchaburi dan mendakwa mereka terkejut dengan harga makanan yang dianggap tidak setimpal dengan kualiti serta kuantiti hidangan.

Iklan
Iklan

Menurut pelancong berkenaan, hidangan yang dipesan hanya mengandungi telur dan sayur-sayuran tanpa sebarang lauk daging, manakala saiz hidangan pula didakwa tidak berbaloi dengan harga yang dikenakan.

Kekecewaan mereka bertambah apabila restoran tersebut disyorkan oleh seorang pengendali bot sebagai lokasi makan terbaik di kawasan berkenaan.

Iklan

Pihak berkuasa turun padang melakukan pemeriksaan.- Foto Agensi

Susulan reaksi awam yang meluas, pegawai Pejabat Perdagangan Wilayah Ratchaburi bersama pihak polis dan pentadbiran tempatan telah mengunjungi restoran terbabit pada Khamis bagi menyiasat aduan berkenaan.

Iklan

Restoran yang terletak di sepanjang Terusan Damnoen Saduak itu hanya boleh diakses menggunakan bot.

Menurut pihak berkuasa, harga makanan dipaparkan pada menu.

Pemilik restoran mengakui, harga yang dikenakan adalah tinggi dengan alasan kos operasi yang besar termasuk sewaan, gaji pekerja, harga bahan mentah dan bayaran kepada pengendali bot yang membawa pelanggan ke premis tersebut yang didakwa mencecah kira-kira 900 baht (RM117) bagi setiap perjalanan.

Pemilik restoran turut menyatakan bahawa keluarga pelancong berkenaan membuat bayaran tanpa sebarang bantahan pada hari kejadian iaitu 3 Januari lalu dan beliau terkejut apabila isu tersebut dibangkitkan semula beberapa hari kemudian di media sosial.

Namun, susulan kritikan orang ramai dan arahan Pejabat Perdagangan wilayah, pemilik bersetuju untuk menurunkan harga bermula Sabtu.

Ketua Pejabat Perdagangan Ratchaburi, Tharanin Bunyongworaphinit berkata, siasatan awal mendapati harga makanan yang dikenakan adalah tidak munasabah.

“Pengusaha mengakui harga yang ditetapkan melebihi tahap sewajarnya. Kami akan memanggil pihak berkenaan untuk siasatan lanjut, mengumpul bukti dan menentukan sama ada berlaku pelanggaran peraturan kawalan harga,” katanya.

Jika didapati bersalah, pengusaha restoran tersebut boleh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda maksimum 140,000 baht (RM182,504.00) atau kedua-duanya sekali, mengikut undang-undang Thailand. - Agensi