BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas peranti rokok elektronik (vape) pelbagai jenama termasuk cecair perisa bernilai lebih RM5 juta dalam pemeriksaan di kawasan pelabuhan di negeri ini dan Selangor, pada April lalu.
Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata, rampasan pertama membabitkan 14,200 unit vape dan 210 liter cecair perisa yang dibuat ketika pemeriksaan sebuah kontena di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada 3 April lalu.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kontena berkenaan diikrarkan membawa barangan plastik namun pemeriksaan dibuat menemui peranti dan cecair vape terbabit.
"Peranti dan cecair vape ini tidak diikrarkan semasa pengimportan bersama-sama barangan dagangan lain.
"Kesemua barangan yang dirampas dianggar bernilai RM1,332,500 dan anggaran cukai terlibat sebanyak RM205,400," katanya pada sidang akhbar, di sini pada Khamis.
Rohaizad berkata, dua individu termasuk seorang lelaki warga China dan seorang ejen pelabuhan berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, dalam kes berasingan, JKDM merampas 71,886 unit peranti vape dan 786.5 liter cecair perisa bernilai RM3.64 juta di Pelabuhan Klang, Selangor pada 10 April lalu.
Beliau berkata, modus operandi sindiket terbabit juga membuat ikrar yang tidak betul pada barang dagangan yang dibawa masuk ke negara ini.
"Bagi kes ini, kesemua unit peranti yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,942,194 dengan anggaran cukai sebanyak RM400,782.
"Bagi rokok elektronik, dianggarkan bernilai RM865,150 dengan anggaran cukai RM432,575," tambahnya.
Beliau berkata, seorang ejen pelabuhan berusia 40-an juga ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, kedua-dua kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967.