MELAKA – Pasukan mencari dan menyelamat belum menemui sebarang petunjuk dalam usaha mengesan remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mencari lembu di Kampung Permatang Pasir, di sini pada Rabu.
Remaja orang kurang upaya (OKU) lembam, Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pernu dipercayai keluar pada jam 6.30 petang sebelum disedari tidak pulang ke rumah pada jam 7 malam.
Sehingga jam 10 pagi ini, pencarian anggota bomba termasuk Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) serta unit anjing pengesan (K9) polis turut dibantu orang kampung.
Pencarian turut membabitkan dua kolam terbiar di situ yang dipercayai 'keras', namun tiada sebarang petunjuk mengenai kehilangan mangsa.
Tinjauan di lokasi mendapati pihak berkuasa dan orang ramai memenuhi kawasan berkenaan untuk membantu usaha mencari dan menyelamat.
Remaja yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu dipercayai berjalan ke kawasan hutan yang berkeluasan kira-kira 0.8 hektar, yang merupakan lokasi biasa dia menjaga lembu.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, gara-gara mencari lembu yang hilang, seorang remaja lelaki dilaporkan sesat di kawasan Kampung Permatang Pasir pada Rabu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid, berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa berusia 15 tahun itu dilakukan selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 11.54 malam.